BERITA SEMASAGAYA HIDUP

MKDS perkukuh pendekatan holistik pengurusan obesiti

KUALA LUMPUR – Pengurusan obesiti kini tidak lagi sekadar memberi tumpuan kepada angka pada penimbang, sebaliknya perlu mengambil kira kesihatan metabolik, komorbiditi, komposisi badan dan kualiti hidup pesakit secara menyeluruh.

Menyedari keperluan itu, Megaklinik Dr Suffian (MKDS) terus memperkukuh kompetensi pasukan perubatannya menerusi penganjuran MKDS Grand CME 2026 yang berlangsung selama dua hari pada 11 dan 12 September lalu di DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur.

Program Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) itu menghimpunkan barisan pakar dan doktor berpengalaman daripada pelbagai disiplin termasuk Endokrinologi, Nefrologi dan pembedahan plastik, selain penglibatan aktif seluruh pasukan sokongan MKDS.

Penganjuran program berkenaan bertujuan memastikan doktor dan seluruh pasukan perubatan MKDS sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam pengurusan obesiti, khususnya dari aspek farmakoterapi, rawatan, pemilihan intervensi serta penjagaan pesakit secara menyeluruh.

Pengarah Urusan MKDS, Adj. Prof. Dr Nuraishah Hanani Abdul Ghani, bersama pasukan pengurusan dan perubatan MKDS turut memainkan peranan dalam memperkukuh aspirasi organisasi untuk membangunkan perkhidmatan pengurusan obesiti berasaskan ilmu, bukti dan perkembangan perubatan semasa.

Menurut Pengarah Perubatan MKDS, Dr Suffian Sani Sayuti, pengurusan obesiti pada masa kini memerlukan pendekatan yang lebih komprehensif berbanding sekadar konsultasi bagi mengekalkan gaya hidup sihat.

“Sebagai klinik yang memberi fokus kepada pengurusan perubatan obesiti terbaik di Malaysia, kami amat menitikberatkan perkembangan ilmu perubatan yang sentiasa bergerak dengan pantas. Justeru, kami ingin memastikan doktor-doktor MKDS sentiasa mengikuti perkembangan terkini serta mempunyai ilmu dan kefahaman yang relevan dalam bidang perubatan.

“Ini penting bagi memastikan setiap keputusan klinikal dibuat berdasarkan ilmu dan bukti semasa, tepat dan selamat, sekali gus membolehkan pesakit menerima penjagaan yang menyeluruh serta bertepatan dengan keperluan mereka,” katanya.

Antara pengisian utama MKDS Grand CME 2026 ialah perkongsian pakar endokrinologi, Prof Dr Norlela Sukor dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, yang mengetengahkan aspek metabolik dan hormon berkaitan obesiti, termasuk pengurusan diabetes serta komplikasi metabolik.

mkds
MKDS Grand CME 2026 menghimpunkan barisan pakar dan doktor berpengalaman daripada pelbagai disiplin termasuk endokrinologi, nefrologi dan pembedahan plastik.

Sementara itu, Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Bahagian Nefrologi PPUM, Assoc. Prof Dr Wan Ahmad Hafiz, memberi penekanan terhadap hubungan rapat antara obesiti, diabetes dan kesihatan buah pinggang.

Perspektif pembedahan plastik pula disampaikan Pakar Perunding Bedah Plastik, Avisena Hospital Shah Alam, Dr. Wan Syazli, khususnya berkaitan pengurusan pesakit selepas penurunan berat badan yang ketara, masalah lebihan kulit dan perubahan fizikal yang memerlukan penilaian serta pengurusan bersesuaian.

Selain aspek klinikal, MKDS Grand CME 2026 turut memberi penekanan kepada kecemerlangan insan, prestasi dan kualiti perkhidmatan menerusi slot perkongsian oleh Tuan Rizal Rashid yang mengetengahkan kepentingan komunikasi, kemahiran interpersonal serta penambahbaikan berterusan dalam kalangan staf MKDS.

Pendekatan itu mencerminkan pengurusan obesiti bukan hanya bergantung kepada kepakaran perubatan, malah memerlukan pasukan yang mampu memberikan sokongan dan pengalaman penjagaan secara menyeluruh kepada pesakit.

Selain perkongsian pakar jemputan, doktor MKDS turut mengambil bahagian secara aktif dalam sesi perkongsian dan perbincangan klinikal berkaitan pengurusan obesiti.

Komitmen terhadap pengembangan ilmu turut diperluas ke peringkat antarabangsa apabila doktor MKDS diberi peluang menyertai persidangan seperti European Association for the Study of Obesity (EASO) di Istanbul dan ISSCA Peptide World Congress di Peru.

Pendedahan di pentas global itu penting bagi memastikan amalan klinikal terus berkembang seiring kemajuan bidang obesiti dan perubatan moden, sebelum ilmu serta pengalaman yang diperoleh dikongsi bersama pasukan MKDS menerusi MKDS Grand CME 2026.

Melalui program berkenaan, MKDS komited memperkukuh budaya perkongsian ilmu dan pembelajaran berterusan dalam kalangan doktor serta seluruh pasukan perubatannya, selain memperkasa perkhidmatan pengurusan obesiti yang komprehensif, berasaskan bukti dan berorientasikan keperluan setiap individu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button