Pelajar maut, rakan cedera motosikal bertembung
HULU SELANGOR – Seorang pelajar lelaki maut manakala rakannya cedera selepas dua motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Sungai Buaya dekat sini pada petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, kedua-dua pelajar berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari sekolah menuju ke Loji Bandar Sungai Buaya.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M. Manimaran berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 3.22 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal yang berada di lorong kanan dipercayai membuat pusingan U.
“Pada masa sama, sebuah lagi motosikal yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat sebelum merempuh motosikal tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, seorang daripada penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian,” memetik Buletin TV3 .
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.
“Seorang lagi mangsa mengalami patah tangan kanan dan mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








