BERITA SEMASA

“Nama saya ada dalam senarai penumpang” – Pelajar UPSI syukur terselamat nahas bas di Gerik

GERIK – “Saya masih tak percaya saya bukan salah seorang mangsa…” Itu luahan Alia, pelajar tahun pertama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang terselamat daripada nahas sebuah bas di Jalan Gerik-Jeli yang sepatutnya dinaikinya.

Kemalangan yang berlaku berhampiran Tasik Banding pada awal pagi tadi itu mengorbankan 14 penuntut UPSI dan seorang kelindan bas.

Menurut Alia, dia sepatutnya pulang ke kampus dari Setiu, Terengganu bersama rakan-rakan dengan menaiki bas tersebut, namun membuat keputusan saat akhir untuk tidak menaiki bas berkenaan dan pulang lebih awal.

“Saya memang rancang sambut Aidiladha di Setiu, tapi ada rasa tak sedap hati. Jadi saya ubah keputusan dan balik awal ke UPSI,” katanya.

Lebih mengejutkan, namanya tersenarai dalam senarai asal penumpang bas berkenaan, menyebabkan ramai rakan dan kenalan menyangka dia turut menjadi mangsa.

“Awal pagi tadi saya dikejutkan dengan berita kemalangan itu. Saya terkedu. Ramai yang hubungi saya sebab ingat saya ada dalam bas.

“Sampai sekarang pun saya masih terfikir, kalau saya ikut rancangan asal, mungkin saya dah tak ada hari ni,” katanya dalam nada sebak.

Alia turut memaklumkan bahawa semua mangsa yang menaiki bas tersebut berasal dari daerah Besut dan Setiu dan majoritinya adalah rakan-rakan yang turut serta dalam program khidmat masyarakat di Kelantan sebelum bertolak pulang ke UPSI.

Kemalangan yang menggemparkan negara itu mencetuskan suasana pilu, terutama dalam kalangan pelajar yang mengenali mangsa-mangsa terlibat.

“Saya bersyukur, tapi dalam masa sama hati ni berat… sebab ramai kawan sendiri yang terkorban dan cedera,” kata Alia sambil mengharapkan doa orang ramai buat semua mangsa yang terkorban dan cedera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button