BERITA SEMASA

Kerajaan teliti kerangka perundangan perkukuh tadbir urus NAFAS

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti undang-undang dan peraturan berkaitan bagi memperkukuh tadbir urus, integriti serta keberkesanan pengurusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, buat masa ini, perlembagaan NAFAS masih digantung di bawah Seksyen 20 Akta Pertubuhan Peladang 1973 berikutan langkah-langkah reformasi tadbir urus yang masih dilaksanakan bagi menangani isu-isu yang dikenal pasti

Langkah tersebut turut dibuat bagi melindungi kepentingan ahlinya sebelum pentadbiran diserahkan semula kepada lembaga yang dipilih.

“Berhubung dakwaan bahawa tempoh penggantungan telah melebihi had yang dibenarkan oleh undang-undang, perkara itu kini sedang dibicarakan di mahkamah melalui permohonan semakan kehakiman yang difailkan terhadap Pendaftar Pertubuhan Peladang.

“Memandangkan perkara ini sedang dalam pertimbangan mahkamah, kerajaan menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan adalah tidak wajar untuk mengulas lanjut mengenainya (sub judice),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Mohamad menjelaskan, NAFAS kini ditadbir oleh seorang pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar di bawah Seksyen 23 akta berkenaan, yang menjalankan fungsi serta tanggungjawab lembaga dengan sokongan pengurusan sedia ada bagi memastikan kelangsungan operasi.

Katanya, Pelan Reformasi NAFAS 2.0 sedang dilaksanakan secara berperingkat, meliputi aspek tadbir urus dan kepimpinan, kerangka perundangan serta pematuhan, pengurusan dana dan perolehan, model perniagaan dan kemampanan kewangan, selain sistem pemantauan dan audit dalaman.

Operasi teras, termasuk pembekalan baja, input pertanian dan perkhidmatan kepada ahli, terus berjalan seperti biasa bagi memastikan keterjaminan makanan negara tidak terjejas, katanya.

“Bagi memperkukuh pemantauan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Reformasi Tadbir Urus untuk memantau kemajuan pelan reformasi serta mengesyorkan penambahbaikan bagi memastikan proses pemulihan dan pengukuhan tadbir urus Nafas dilaksanakan secara berkesan, telus dan bertanggungjawab.

“Kementerian juga terus berinteraksi dengan pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan peladang kawasan dan negeri, menerusi mesyuarat, perbincangan serta sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas terhadap proses reformasi,” kata Mohamad.

Beliau menambah, keputusan untuk menarik balik penggantungan perlembagaan NAFAS akan dipertimbangkan oleh Pendaftar selepas mengambil kira kemajuan reformasi tadbir urus, kepentingan ahli serta perkembangan prosiding undang-undang yang berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button