Jenama PELADANG kini boleh didapati di Megamart
MUAR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) terus memperkukuh strategi pemasaran jenama PELADANG menerusi kerjasama strategik bersama rangkaian pasar raya Megamart bagi memperluas penjualan produk tempatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, inisiatif itu mampu meningkatkan akses pengguna terhadap produk keluaran peladang tempatan selain memperkukuh rantaian pemasaran sektor agromakanan negara.
“Kerjasama tersebut turut membuka peluang pasaran lebih luas kepada produk di bawah jenama PELADANG.
“Usaha ini bukan sahaja membuka peluang pasaran baharu kepada produk tempatan, malah membantu meningkatkan daya saing usahawan peladang dalam industri peruncitan moden,” katanya selepas merasmikan Festival Agro MADANI Peladang@NAFAS Mall di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin berkata, beberapa produk di bawah jenama PELADANG seperti minuman 3 dalam 1, santan dan sardin sudah mula dipasarkan di rangkaian Megamart cawangan NAFAS Mall.
“Pemasaran itu buat masa ini melibatkan satu lokasi terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke rangkaian lain pada masa akan datang.
“NAFAS komited memastikan jenama PELADANG terus berkembang sebagai produk pilihan pengguna dengan mengekalkan standard kualiti tinggi dan harga berpatutan,” katanya lagi.
NAFAS Mall yang mula beroperasi pada April 2012 kini menjadi antara pusat aktiviti ekonomi komuniti Muar-Tangkak dengan menempatkan pelbagai premis perniagaan termasuk pasar raya, restoran makanan segera, farmasi serta kedai pakaian.
Festival Agro MADANI Peladang@NAFAS Mall turut melibatkan kerjasama beberapa agensi antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan pihak swasta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







