Belanjawan 2027: PUNB sambut baik peningkatan dana pembiayaan RM500 juta, perkasa usahawan Bumiputera
KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menerima peningkatan dana pembiayaan kepada RM500 juta menerusi Belanjawan 2027, berbanding RM350 juta sebelum ini, bagi memperkukuh usaha memperkasa usahawan Bumiputera.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, peningkatan peruntukan itu mencerminkan kepercayaan kerajaan terhadap peranan badan berkenaan dalam membantu usahawan Bumiputera mengembangkan perniagaan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan atas kepercayaan yang diberikan.
“Kami memberi jaminan bahawa amanah ini akan dilaksanakan dengan penuh integriti, berteraskan tata kelola yang baik dan telus, supaya setiap ringgit sampai kepada usahawan yang layak,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Izwan, usahawan Bumiputera kini bersedia mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi, bukan sekadar menjadi pembekal, malah berpotensi muncul sebagai peneraju industri yang memacu inovasi dan automasi bertaraf global.
Sehubungan itu, katanya, PUNB akan memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi memastikan sokongan yang disalurkan memberi kesan nyata kepada usahawan, selaras saranan Anwar pada SParK 2026.
Peningkatan dana itu juga menyusuli komitmen kerajaan yang dizahirkan pada Majlis Perasmian SParK 2026, apabila Perdana Menteri mengiktiraf keberkesanan pelaksanaan program pembiayaan PUNB serta menyatakan kesediaan mempertimbangkan peningkatan pembiayaan berdasarkan prestasi dan keberkesanan pelaksanaan mandat badan berkenaan.
Dalam pada itu, PUNB menyifatkan tumpuan Belanjawan 2027 terhadap pemerkasaan ekonomi Bumiputera menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35) sebagai bertepatan dengan peranannya.
“Usaha kerajaan melonjakkan industri semikonduktor, kecerdasan buatan, tenaga baharu dan sektor bernilai tinggi turut membuka ruang kepada usahawan Bumiputera untuk menembusi pasaran bernilai tinggi, selain memastikan perniagaan mereka kekal mampan melalui pembiayaan serta pembangunan kapasiti berterusan,” katanya.
Sepanjang 2026, Izwan Zainuddin berkata, PUNB melaksanakan penjajaran semula skim pembiayaan perniagaannya, iaitu PROSPER GROW, PROSPER GREAT dan PROSPER IMPACT/NOVA.
Pada masa sama, tiga produk baharu diperkenalkan di bawah PROSPER GROW, iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP dan PROSPER GROW AUTO BIZ bagi memperluas akses pembiayaan kepada usahawan pada pelbagai peringkat perniagaan.
PUNB turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong aspirasi Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13, selain memperincikan inisiatif bersesuaian dengan Belanjawan 2027 dari semasa ke semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







