Ronaldo digantung sementara, FPF buka prosiding tatatertib
LISBON – Cristiano Ronaldo berdepan tindakan tatatertib selepas Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) memulakan prosiding terhadap penyerang berusia 41 tahun itu susulan tindakannya meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan, menurut laporan media tempatan pada Sabtu.
Menurut akhbar Portugal, A Bola, FPF mengesahkan prosiding berkenaan telah dimulakan dan Ronaldo turut dikenakan penggantungan sementara.
Ronaldo dilaporkan meninggalkan kem Portugal di Copenhagen sebelum perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Denmark minggu lalu, susulan pertelingkahan dengan ketua jurulatih, Jorge Jesus.
Ketegangan itu tercetus selepas pemain berkenaan, yang hanya memanaskan bangku simpanan ketika Portugal menentang Norway, mendakwa Jesus memungkiri janji sebanyak dua kali berhubung peranannya dalam pasukan.
Bagaimanapun, Jesus menafikan pernah membuat sebarang perjanjian dengan Ronaldo selepas Portugal mencatat kemenangan 2-1 ke atas Denmark. Jurulatih itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan penyerang berkenaan kembali menyertai skuad kebangsaan.
Dalam kenyataan yang dipetik A Bola, FPF memaklumkan tindakan penggantungan tambahan dikenakan terhadap Ronaldo ketika prosiding tatatertib sedang berjalan.
“Tanpa menjejaskan penggantungan pencegahan automatik yang dikenakan sehingga tarikh prosiding bermula, satu penggantungan pencegahan tambahan telah ditetapkan terhadap pemain itu dan kes ini diberikan status segera,” menurut kenyataan badan induk itu.
Baca juga : Kecewa dengan Jesus, Ronaldo tetap setia bersama Portugal
Presiden FPF, Pedro Proenca berkata, semua pihak dalam persekutuan berkenaan berharap Ronaldo dapat kembali mewakili Portugal selepas isu itu diselesaikan.
“Dalam semangat ketenangan ini, dan selepas berbincang dengan semua pihak yang secara terbuka telah menyatakan hasrat untuk melihat kapten kembali bersama kami, memang wujud keinginan daripada semua pihak.
“Ia termasuk persekutuan, presiden FPF, jurulatih skuad kebangsaan, kapten dan juga pemain-pemain,” katanya seperti dipetik A Bola.
Bagaimanapun, Proenca menegaskan keputusan berhubung tindakan tatatertib terhadap Ronaldo terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib FPF.
“Itu bergantung sepenuhnya kepada Jawatankuasa Tatatertib yang merupakan badan bebas dan mereka akan menjalankan tugas mereka,” katanya.
Selasa lalu, Ronaldo memohon maaf kerana tidak menghargai sokongan penyokong selepas perlawanan menentang Norway, selain tindakannya meninggalkan rakan sepasukan.
Bekas pemain Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu turut menegaskan kesediaannya untuk terus mewakili Portugal selepas menjalani sebarang hukuman yang mungkin dikenakan berhubung insiden berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








