Jairo koyak bahagian bibir, dibenar keluar hospital
KUALA LUMPUR – Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo Da Silva sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan lanjut susulan kecederaan di bahagian bibir ketika aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), malam tadi.
Perkembangan itu disahkan JDT menerusi laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini yang memaklumkan pemain berusia 34 tahun itu menerima beberapa jahitan di bahagian bibir yang koyak.
Menurut kenyataan itu, Jairo yang turut mencipta bantuan jaringan untuk gol JDT telah menjalani pemeriksaan X-ray serta imbasan CT di Kompleks Perubatan Raja Abdullah sebagai langkah berjaga-jaga.
“JDT mengucapkan semoga cepat sembuh kepada Jairo Da Silva selepas terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan kepala ketika aksi ACLE bertemu Al Ahli di Arab Saudi, malam tadi.
“Beliau menerima beberapa jahitan di bahagian bibir yang terkoyak selepas insiden berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Dalam perlawanan tersebut, Jairo dilihat terbaring di atas padang dan seakan tidak sedarkan diri selepas terkena sepakan di muka oleh pemain lawan, Ali Majrashi yang cuba mengeluarkan bola menerusi sepakan gunting pada minit ke-36, sekali gus mencetuskan detik cemas.
Penyerang kelahiran Brazil itu kemudian diusung keluar pada minit ke-39 selepas tidak dapat meneruskan permainan dan digantikan oleh Ager Aketxe.
Majrashi turut berdepan malam malang apabila bukan sahaja menjaringkan gol sendiri pada minit ke-19, malah dibuang padang susulan kekasaran terhadap Jairo.
Meskipun beraksi dengan 10 pemain, Al Ahli yang juga juara bertahan bangkit meraih kemenangan menerusi jaringan Franck Kessie pada masa kecederaan babak pertama sebelum Galeno menambah gol kedua pada minit ke-54.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








