Belanjawan 2027: Bantuan OKU meningkat kepada RM1.5 bilion, elaun bulanan dinaikkan
KUALA LUMPUR – Peruntukan keseluruhan bagi bantuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) ditingkatkan kepada RM1.5 bilion bagi memberi manfaat kepada lebih 300,000 penerima.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara langkah diumumkan ialah peningkatan kadar Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik daripada RM500 kepada RM600 sebulan.
Selain itu katanya, ambang pendapatan bagi melayakkan seseorang menerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) turut dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000.
“Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) pula ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan, sekali gus memberi manfaat kepada 150,000 murid berkeperluan khas, termasuk anak autistik,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam usaha memperkukuh sokongan kepada pendidikan khas, insentif pengajaran bagi murid berkeperluan pendidikan khas turut dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan, membabitkan kira-kira 20,000 guru pendidikan khas.
Beliau berkata, bagi memperluas akses pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak autistik, dua Pusat PERMATA Kurnia baharu akan dibina di Melaka dan Pahang.
Katanya, pusat berkenaan akan menyediakan pendidikan, sokongan dan latihan khusus kepada kanak-kanak autistik.
Selain itu katanya, lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu akan dibuka di kawasan luar bandar seluruh negara bagi memastikan anak autistik daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat bimbingan awal yang lebih berkesan.
“Sebanyak 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) juga akan dinaik taraf menjadi Pusat Terapi Khusus, dengan sasaran memberi manfaat kepada 20,000 individu OKU Sindrom Down berdaftar.
“Dalam masa sama, seramai 3,000 penjaga OKU baharu akan diberikan kemahiran khusus bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan golongan itu di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu katanya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan diperuntukkan RM445 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan masyarakat Orang Asli.
“Antara projek yang dirancang termasuk penanaman semula di Pos Poi, Sungai Siput, Perak, serta pembinaan tabika Orang Asli di Kampung Angkek dan Pos Belatim, Gua Musang, Kelantan.
“Di daerah Kinta, Perak, perhatian turut diberikan kepada anak-anak Orang Asli yang tinggal jauh dari sekolah dan berisiko tercicir akibat kesukaran berulang-alik setiap hari.
“Langkah berkenaan mencerminkan usaha memperluas akses kepada pendidikan dan kebajikan, khususnya bagi golongan OKU serta masyarakat Orang Asli di seluruh negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








