BERITA SEMASA

Polis, SPRM digesa siasat segera dakwaan penyelewengan Tabung Haji – Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan menyeluruh dan segera susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang mendapati wujud salah tadbir urus serta unsur penyelewengan dalam pengurusan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Menurut Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil, pendedahan tersebut amat mengecewakan umat Melayu Islam kerana Tabung Haji merupakan institusi simpanan yang dibina hasil titik peluh pendeposit serta menjadi antara institusi kewangan Islam yang menjadi kebanggaan negara.

Menurutnya, pihak yang selama ini memperjuangkan slogan “penyatuan umat” dilihat gagal bersuara mempertahankan Tabung Haji ketika isu salah urus berlaku semasa pentadbiran terdahulu.

“Islam melarang penyelewengan, namun perjuangan penyatuan umat dilihat tidak menumpukan kepada usaha membanteras salah guna kuasa, sebaliknya lebih kepada meraih kuasa politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz turut merujuk kepada dapatan RCI yang mengiktiraf pelan pemulihan Tabung Haji yang dilaksanakan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, sambil menyatakan bahawa usaha tersebut dilaksanakan ketika portfolio Menteri Kewangan disandang oleh Lim Guan Eng.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat menilai isu penyelewengan secara objektif tanpa dipengaruhi sentimen perkauman kerana, menurutnya, salah laku tidak mengenal kaum.

Mengulas dakwaan bahawa Laporan RCI tidak mendedahkan sebarang kesalahan jenayah secara khusus, Faiz berkata, laporan itu tetap mencatatkan kerugian pelaburan melibatkan beberapa anak syarikat Tabung Haji yang memerlukan siasatan lanjut oleh PDRM dan SPRM.

Beliau menjelaskan bahawa RCI tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesalahan jenayah atau mengenal pasti pelaku, sebaliknya perkara itu terletak di bawah bidang kuasa agensi penguat kuasa.

Katanya, tindakan segera oleh pihak berkuasa penting bagi memulihkan keyakinan pendeposit dan memastikan integriti Tabung Haji terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button