Hanya pelarian tiba sebelum 1 Januari 2023 layak dipertimbang sertai DPP – KDN
KUALA LUMPUR – Pelarian yang memasuki Malaysia selepas 1 Januari 2023 tidak layak dipertimbangkan untuk menyertai Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang dilaksanakan kerajaan sejak awal tahun ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, penetapan itu antara syarat kelayakan program berkenaan yang turut tidak memberikan kelayakan secara automatik kepada individu hanya berdasarkan pemilikan kad atau surat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Menurut kementerian itu, DPP bukan saluran untuk pelarian mendapatkan hak menetap secara kekal, status Penduduk Tetap (PR) mahupun kewarganegaraan Malaysia.
“Program yang mula dilaksanakan pada 1 Januari 2026 itu bertujuan mengenal pasti, menyaring, mendokumentasikan dan memantau keberadaan pelarian sedia ada sementara kerajaan meneruskan usaha penghantaran pulang ke negara asal atau penempatan semula ke negara ketiga,” menurut kenyataan KDN.
Dalam pada itu, akses kepada pekerjaan bagi pemegang DPP hanya diberikan secara sementara dan terhad, selain tertakluk kepada syarat serta kelulusan kerajaan.
“Kebenaran hanya diberi kepada individu yang memenuhi kriteria ditetapkan dan terhad kepada sektor serta jenis pekerjaan yang dibenarkan, khususnya pekerjaan bercirikan 3D (Kotor, Berbahaya dan Sukar),” menurut kenyataan itu.
KDN turut menjelaskan bahawa keutamaan peluang pekerjaan dalam negara kekal diberikan kepada Warganegara Malaysia.
Kementerian itu menegaskan, pelaksanaan DPP termasuk pemberian akses pekerjaan secara bersyarat tidak mengubah pendirian kerajaan untuk memastikan pelarian dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan semula ke negara ketiga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








