BERITA SEMASARENCANA

Di sebalik statistik warga China: Realiti ekonomi dan ketegasan undang-undang

PERBINCANGAN mengenai keberadaan warga China di Malaysia semakin hangat sejak kebelakangan ini, khususnya selepas beberapa insiden tular yang menarik perhatian masyarakat.

Ada yang bimbang soal jenayah, ada yang bimbang tentang dominasi warga asing, malah tidak kurang yang merasakan dasar negara terlalu longgar.

Walau bagaimanapun, di sebalik kebimbangan tersebut, kenyataan tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membawa satu mesej jelas, iaitu keselamatan rakyat dan kedaulatan negara adalah keutamaan yang tidak akan dikompromi.

Baca juga : Wanita warga China dipenjara sebulan, denda RM2,000 kerana cederakan pegawai imigresen di KLIA

Tidak ada layanan istimewa

Saifuddin menegaskan, setiap tindakan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlandaskan undang-undang, tanpa pilih kasih atau diskriminasi.

Sama ada melibatkan rakyat tempatan atau warga asing, termasuk dari China, semua kes akan disiasat dan ditangani dengan prinsip keadilan yang sama.

Hakikatnya, isu besar yang sering menimbulkan kekeliruan awam ialah tanggapan bahawa warga asing tertentu seolah-olah kebal daripada undang-undang kerana status mereka sebagai pelabur, pelajar atau peserta program Malaysia My Second Home (MM2H).

Pandangan ini segera dipatahkan oleh Saifuddin yang menegaskan status visa bukanlah imuniti.

Beliau menegaskan, jika syarat pas dilanggar atau keselamatan negara digugat, tindakan tegas akan dikenakan, termasuk pembatalan pas, senarai hitam, dan penghantaran pulang.

Mengimbangi keterbukaan dan kedaulatan

Malaysia tidak menolak realiti bahawa tenaga kerja asing, termasuk warga China, memberi sumbangan penting kepada ekonomi negara apabila 30,679 warga China berdaftar sebagai ekspatriat profesional di Malaysia setakat 15 Ogos lalu.

Sektor pembinaan mencatatkan jumlah tertinggi (10,825 orang), diikuti perkilangan (6,407), perkhidmatan (5,385), ICT (4,477) dan sektor lain (3,585).

Data ini memberi gambaran jelas bahawa kehadiran mereka tertumpu kepada sektor berkemahiran tinggi dan projek berimpak besar, bukannya dalam kategori pekerja asing tidak mahir.

Malah, Saifuddin turut menekankan China bukan antara 15 negara sumber rasmi untuk pengambilan pekerja asing tidak terlatih.

Kehadiran warga China dalam sektor buruh kasar hanya dibenarkan khusus untuk projek mega kerajaan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dengan kata lain, Malaysia masih mengawal pintu masuknya yang terbuka kepada pelaburan dan kepakaran teknikal, tetapi tertutup kepada pengambilan pekerja asing tidak terlatih dari China.

Naratif keselamatan yang perlu dipertahankan

Di sebalik keterbukaan ini, realitinya kerajaan tidak boleh mengabaikan keresahan rakyat. Persepsi bahawa “warga asing semakin berleluasa” boleh mencetuskan ketegangan sosial jika tidak ditangani dengan baik.

Justeru, mesej Saifuddin bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran undang-undang oleh warga asing menjadi naratif penting untuk menenangkan masyarakat.

Lebih daripada itu, beliau menekankan bahawa prinsip penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada aspirasi Malaysia MADANI, iaitu sebuah dasar yang mendahulukan rakyat, memelihara kedaulatan dan pada masa sama mengekalkan keterbukaan terhadap kerjasama antarabangsa.

Keyakinan rakyat

Dalam dunia global hari ini, tiada negara boleh menutup pintunya sepenuhnya daripada dunia luar dan apa yang lebih penting ialah memastikan setiap pintu yang dibuka berada di bawah kawalan yang ketat.

Malaysia, seperti yang ditegaskan oleh Saifuddin, tidak sesekali akan menggadaikan kedaulatan negara hanya kerana ingin menarik pelaburan atau tenaga mahir.

Seruan beliau agar rakyat kekal tenang dan yakin dengan peranan pihak berkuasa adalah isyarat bahawa kerajaan sedang bekerja secara sistematik, bukan sekadar memberi reaksi kepada tekanan awam.

Di sinilah peranan Menteri Dalam Negeri untuk terus menegaskan bahawa undang-undang adalah benteng terakhir negara.

Warga asing dialu-alukan, tetapi bukan untuk membawa masalah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button