BERITA SEMASA

KDN perketat undang-undang, perkukuh NSRC tangani jenayah siber

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengambil pendekatan menyeluruh bagi menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan pantas berubah, kata Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, jenayah siber kini terbahagi kepada dua kategori utama iaitu cyber enabled crime yang merangkumi penipuan dalam talian dan penyebaran maklumat palsu serta cyber dependent crime yang melibatkan godaman, perisian hasad dan serangan phishing.

“Sepanjang tahun 2024, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka lebih 46,000 kertas siasatan melibatkan jenayah siber,” katanya dalam jawapan lisan di Parlimen hari ini.

Antara langkah yang diambil termasuk meminda undang-undang untuk memperketat hukuman ke atas pemilik akaun keldai (mule account), memperluas kuasa anggota polis berpangkat Sarjan bagi menyekat transaksi mencurigakan serta melaksanakan lebih 10,000 program kesedaran di seluruh negara.

KDN turut memaklumkan bahawa Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) kini diterajui sepenuhnya oleh PDRM dan beroperasi 24 jam dengan 139 pegawai ditempatkan di Cyberjaya selaras dengan usaha memperkukuh kerjasama rentas sempadan.

Saifuddin turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang meneliti pindaan menyeluruh terhadap Akta Jenayah Siber termasuk peruntukan berkaitan bukti digital, pencerobohan sistem dan permintaan data secara masa nyata (real-time).

“Undang-undang tidak boleh kekal statik. Ia mesti berkembang mengikut bentuk jenayah yang makin canggih dan licik,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button