BERITA SEMASAPOLITIK

Agama, bangsa dan negara perlu jadi prinsip kepimpinan – Osman Awang

DURIAN TUNGGAL – Prinsip mempertahankan agama, bangsa dan negara perlu terus menjadi pegangan setiap pemimpin serta rakyat bagi memastikan kestabilan, keharmonian dan kemajuan negara terus terpelihara.

Itu pandangan penduduk Durian Tunggal, Osman Awang, 63, yang menegaskan bahawa perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menyebabkan masyarakat mengetepikan tiga asas penting yang menjadi tunjang kehidupan bernegara.

Menurutnya, setiap individu yang diberikan tanggungjawab dalam kepimpinan perlu mempunyai prinsip dan jati diri yang kukuh, selain melaksanakan amanah dengan penuh kejujuran serta bertanggungjawab.

Katanya, agama berperanan sebagai panduan dalam membentuk nilai dan akhlak, bangsa perlu dipelihara menerusi perpaduan serta semangat kebersamaan, manakala negara merupakan tanah air yang wajib dipertahankan demi kepentingan generasi akan datang.

“Agama, bangsa dan negara ini tiga perkara yang perlu kita pegang. Kalau tidak ada agama, kita kehilangan panduan.

“Kalau tidak menghargai bangsa, kita akan kehilangan semangat kebersamaan dan kalau tidak ada negara, di mana tempat kita hendak berlindung dan membina kehidupan?” katanya ketika ditemubual oleh Malaysia Tribune.

Beliau berkata, prinsip berkenaan bukan sahaja perlu menjadi pegangan golongan pemimpin, malah wajar diterapkan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang mahupun fahaman politik.

Osman turut mengingatkan parti-parti yang bertanding supaya tidak meminggirkan suara pengundi muda, khususnya dalam mengetengahkan tawaran berkaitan pendidikan, peluang pekerjaan dan jaminan kehidupan selepas tamat pengajian.

Menurutnya, golongan muda hari ini mempunyai akses luas kepada maklumat serta berupaya menilai prestasi pemimpin dan hala tuju sesebuah kerajaan.

Katanya, anak muda yang telah menamatkan pengajian di peringkat sekolah, diploma mahupun universiti bukan sekadar mengharapkan kelayakan akademik, sebaliknya memerlukan peluang pekerjaan untuk membina kehidupan sendiri.

“Anak muda ini sudah belajar, ibu bapa sudah menghabiskan wang untuk pendidikan mereka. Jadi, selepas tamat pengajian, mereka tentu mengharapkan pekerjaan dan peluang untuk membina kehidupan sendiri.

“Jangan pandang rendah suara mereka kerana golongan muda inilah yang akan mengambil alih tanggungjawab kepimpinan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut berpandangan golongan muda perlu diberikan ruang lebih luas untuk melibatkan diri dalam politik dan proses membuat keputusan bagi membentuk generasi kepimpinan yang lebih bertanggungjawab.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa perjuangan politik tidak seharusnya mencetuskan permusuhan atau budaya saling menghina, sebaliknya perlu berlandaskan usaha membela kepentingan rakyat.

Menurutnya, pemimpin yang diberikan mandat perlu mempunyai prinsip yang jelas dan tidak melupakan tanggungjawab terhadap rakyat selepas memperoleh kuasa.

“Jangan hanya bercakap tentang perjuangan ketika pilihan raya. Apabila diberikan kuasa, tunaikan amanah dan jangan lupakan rakyat,” katanya.

Beliau berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi medan untuk rakyat menilai calon berdasarkan prinsip, integriti dan kemampuan mereka membawa pembangunan, tanpa mengabaikan keharmonian masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button