Belia, wanita, ibu tunggal jadi keutamaan Nana di Klebang
MELAKA – Golongan belia, wanita dan ibu tunggal menjadi fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Farzana atau lebih mesra disapa Nana berkata, pendekatan mendekati golongan berkenaan penting bagi memahami keperluan serta isu yang dihadapi masyarakat setempat.
Menurutnya, beliau turut memberi perhatian kepada penduduk yang terlibat dalam sektor pertanian dan persawahan, khususnya di kawasan Kampung Pinang.
“Fokus utama Nana ialah golongan belia, wanita dan khususnya ibu tunggal.
“Macam sekarang kita berada di daerah mengundi Kampung Pinang, kita banyak melihat masyarakat yang terlibat dalam aktiviti pertanian dan persawahan. Jadi, itu antara fokus Nana,” katanya kepada Malaysia Tribune selepas menghadiri ceramah kelompok di PDM Kampung Pinang, Kampung Sungai Lereh, di sini hari ini.
Mengulas perkembangan kempen, Farzana berkata, beliau telah memulakan gerak kerja sebelum hari penamaan calon menerusi aktiviti turun padang termasuk kunjungan mesra di Family Store Klebang dan program Ziarah Kasih.
“Sambutan yang diterima daripada pengundi setakat ini juga positif, termasuk terhadap penyertaannya sebagai calon wanita dan calon muda di kawasan berkenaan,” katanya lagi.
Farzana yang merupakan anak jati Bukit Rambai turut menyasarkan untuk menemui 100 peratus pengundi DUN Klebang sebelum hari pengundian pada 14 November ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














