BERITA SEMASA

Ginie Lim yakin pengalaman pentadbiran jadi kekuatan di Machap Jaya

ALOR GAJAH – Pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri, hubungan bersama masyarakat serta pengetahuan dalam bidang korporat menjadi antara kekuatan yang ditawarkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Ginie Lim yang juga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pengalaman sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya dan bekas Exco Kerajaan Negeri Melaka menjadi antara bekalan untuk beliau menawarkan khidmat kepada pengundi.

Menurutnya, setiap calon yang bertanding mempunyai pengalaman, kemahiran dan kekuatan tersendiri yang boleh dinilai oleh rakyat sebelum membuat pilihan.

“Seperti saya sendiri, saya merupakan mantan ADUN Machap Jaya dan juga merupakan mantan Exco Kerajaan Negeri.

“Jadi pengalaman pentadbiran saya, hubungan saya dengan masyarakat dan juga pengetahuan serta kemahiran dari segi korporat sudah pasti menjadi satu kekuatan yang saya rasa saya boleh sumbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Tukar Minyak Motor di Pengkalan Indah, di sini, hari ini.

Mengulas persaingan di kerusi berkenaan, Ginie berkata, pihak lawannya turut mempunyai latar belakang pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, sekali gus menjadikan pertandingan itu sebagai persaingan sihat.

Katanya, situasi tersebut memberi ruang kepada pengundi untuk menilai latar belakang serta kemampuan setiap calon sebelum menentukan wakil rakyat yang akan berkhidmat untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, beliau berharap pengundi yang berada di luar Melaka dapat pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian.

“Memang saya harap pengundi-pengundi di luar dapat balik mengundi dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pengundi untuk memilih wakil rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button