BERITA SEMASA

Kerjasama PH-BN di Pulau Pinang perlu terus diperkukuh demi kestabilan negeri

GEORGE TOWN – Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu terus diperkukuh demi memastikan kestabilan politik dan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata, kerjasama antara kedua-dua gabungan itu di peringkat kerajaan negeri selama ini berjalan dengan baik dan konstruktif.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun menjalankan amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, beliau tidak pernah menghadapi masalah dalam hubungan kerja dengan pimpinan serta rakan-rakan daripada PKR dan DAP di negeri itu.

“Sebaliknya, hubungan kerja yang terjalin adalah berasaskan sikap saling menghormati, persefahaman, komunikasi yang baik serta keutamaan terhadap kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Rashidi berkata, perbezaan latar belakang parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bekerjasama sekiranya matlamat utama adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik dan rakyat mendapat manfaat.

Related Articles

Beliau berkata, kerjasama yang dibina di Pulau Pinang sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 merupakan satu bentuk persefahaman politik yang perlu dihargai dan diperkukuhkan.

“Keputusan PH Pulau Pinang untuk mengekalkan wakil BN dalam pentadbiran negeri sehingga PRU akan datang juga mencerminkan kepentingan kesinambungan kerjasama tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan terhadap pendirian di peringkat Pusat supaya Kerajaan Perpaduan terus dipertahankan dan diperkukuhkan sehingga tamat penggal.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kestabilan pentadbiran negara, kesinambungan dasar serta membolehkan kerajaan terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Saya percaya kestabilan politik bukan sekadar mengenai parti atau jawatan, tetapi mengenai kemampuan kita untuk bekerja bersama, menghormati perbezaan dan menyelesaikan perkara yang memberi kesan kepada rakyat.

“Kerjasama yang baik perlu diteruskan. Perbezaan boleh diraikan, tetapi kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan,” katanya.

Rashidi berharap semangat kerjasama dan persefahaman antara PH dan BN di Pulau Pinang terus dipelihara demi kestabilan negeri serta kesejahteraan seluruh rakyat Pulau Pinang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button