UMNO akan lenyap dari bumi ini, jika tiada tindakan drastik – Isham Jalil
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mendakwa UMNO akan lenyap daripada persada politik negara sekiranya pimpinan tertinggi parti itu tidak berbuat sesuatu.
Beliau menggesa satu tindakan drastik diambil bagi membaiki keadaan dan prestasi parti yang menyaksikan kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri semalam.
“Saya dan akar umbi sudah berusaha sedaya upaya di bawah. Kini kepimpinan perlu membuat pertimbangan semula dan membuat keputusan.
“Jika kita tidak berbuat apa-apa, kita dan perjuangan UMNO akan lenyap di bumi Allah ini. Kita perlu bangun,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Isham berkata, kegagalan pucuk pimpinan mengambil tindakan yang tepat akan menyebabkan parti itu terus menerus mengalami kekalahan pada pilihan raya seterusnya.
“Kali ini UMNO kalah teruk, hanya menang 19 kerusi dari 108. Kita menang satu kerusi di Kelantan, dua di Pulau Pinang, dua di Selangor, dan 14 di Negeri Sembilan. Di 89 kerusi lain semua kita kalah.
“Kita perlu berbuat sesuatu kerana kita kini berada di keadaan yang getir dan kritikal,” katanya.
Tanpa memperincikan tindakan yang sepatutnya dilakukan, Isham menyatakan tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian.
Pertama adalah mengenai kerjasama dengan DAP, kedua mengenai Presiden UMNO dan ketiga berkaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan DAP telah mencetuskan penolakan di peringkat akar umbi sekaligus membuktikan ramai ahli beralih arah menyokong Perikatan Nasional.
“Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi Perikatan Nasional (PN). Ini yang berlaku di enam negeri ini.
Mengenai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Isham berpendapat presiden parti itu perlu turun ke peringkat akar umbi dan mengadakan dialog bagi menjernihkan keadaan.
Manakala mengenai Najib, Isham berpendapat kerajaan perlu memberikan peluang perbicaraan yang adil kepada bekas perdana menteri itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








