BERITA SEMASADALAM NEGERIPMX

Industri penerbangan negara diperkukuh menerusi perjanjian strategik di Perancis – PM

PARIS – Usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh sektor penerbangan negara mendapat suntikan baharu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pemeteraian perjanjian strategik antara AirAsia dengan Airbus semasa lawatan rasminya ke Perancis, semalam.

Beliau berkata, perjanjian pembelian pesawat A321XLR oleh AirAsia dengan pengeluar pesawat terkemuka dunia, Airbus itu dijangka meningkatkan keupayaan operasi syarikat penerbangan itu bagi laluan jarak dekat dan sederhana.

“Langkah ini bukan sahaja memperluas rangkaian penerbangan syarikat malah menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab penerbangan utama di rantau Asia,” kata beliau dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Anwar Ibrahim menyaksikan pemeteraian perjanjian pembelian pesawat A321XLR antara AirAsia dan Airbus di Perancis, semalam.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara 3P Capital Adviser dan Ardian, sebuah syarikat pelaburan swasta terkemuka dari Perancis.

Kerjasama itu katanya membuka ruang kepada penerokaan peluang pelaburan dalam pasaran persendirian yang dilihat berpotensi memberikan akses lebih luas kepada rakyat Malaysia terhadap instrumen pelaburan alternatif.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi Imerys, syarikat pemproses mineral industri yang telah beroperasi di Malaysia selama lebih dua dekad.

Dalam pertemuan tersebut, Imerys menyatakan komitmen mereka untuk memperluas operasi di Malaysia, sekali gus menyokong pembangunan sektor pembuatan bernilai tinggi yang mesra alam.

Turut ditemui ialah wakil syarikat Arkema, peneraju global dalam bidang kimia khas yang sedang menilai potensi pelaburan baharu di Malaysia.

“Ini berupaya mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, mempercepat pemindahan teknologi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama bioekonomi di rantau Asia,” katanya.

Turut hadir dalam sesi itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button