BERITA SEMASA

Kekurangan sekolah pondok di Telok Mas perlu diberi perhatian – Kapten Mat

KOTA MELAKA – Keperluan memperluas akses pendidikan agama menerusi penubuhan lebih banyak sekolah pondok dan institusi keagamaan menjadi antara agenda yang mahu diperjuangkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Kapten (B) Mohamad Jaafar.

Mohamad, 66, yang lebih dikenali sebagai Kapten Mat berkata, golongan muda khususnya mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian memerlukan bimbingan agama secara lebih menyeluruh bagi membentuk sahsiah dan jati diri.

Menurutnya, sebahagian anak muda di kawasan itu bekerja di sektor perkilangan, termasuk kilang besi dan industri kecil, sekali gus memerlukan pendekatan bersesuaian untuk mendekatkan mereka kepada penghayatan Islam.

“Kekurangan institusi pendidikan agama seperti sekolah pondok di Melaka perlu diberi perhatian bagi menyediakan ruang kepada golongan belia mendalami ilmu agama.

“Pada pendekatan saya, kita perlu ambil peluang mendekati mereka ke arah Islamik atau keagamaan iaitu mewujudkan sekolah pondok seperti di Kelantan.

“Tetapi di Melaka ini, kita kurang sekolah pondok, sekolah agama dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Menurutnya, usaha memperkukuh pendidikan agama dalam kalangan belia penting bagi memastikan mereka bukan sahaja mempunyai peluang meningkatkan pengetahuan, malah mampu membina nilai dan tanggungjawab sebagai generasi pemimpin akan datang.

“Sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau mahu membawa pendekatan dakwah dan pendidikan agama sebagai antara usaha membimbing golongan muda di Telok Mas,” tambahnya.

Pada PRN Melaka ke-16, DUN Telok Mas menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Mohamad Jaafar (PH) dan Muhammad Hazwan Mustafa daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button