PRN Melaka: BN perinci strategi, pemilihan calon masih berjalan
KUALA LUMPUR – Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan ditentukan menerusi kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani berkata, Ab Rauf lebih memahami latar belakang pemimpin di negeri itu, termasuk individu yang sesuai dipertimbangkan berdasarkan pengalaman mereka dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Ketua Menteri Melaka dia sendiri tahu siapa yang (sesuai) dalam kerajaan di Melaka itu ataupun dalam pemimpin-pemimpin yang nak dipilih itu dia lebih faham dan dia akan berhubung direct (terus) dengan Presiden UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bayu Seafood by White N Black di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Johari berkata, BN Melaka berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi PRN negeri itu, dengan strategi dan pendekatan bagi meraih keyakinan pengundi akan diperincikan.
Menurut beliau, tempoh kira-kira tiga minggu sebelum penamaan calon boleh dimanfaatkan parti itu untuk merangka gerak kerja serta memberi penjelasan berhubung isu yang timbul dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, langkah itu penting supaya rakyat mendapat gambaran tepat mengenai pendirian parti terhadap isu semasa, tanpa hanya bergantung pada dakwaan yang tersebar menerusi media sosial.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka Ke-16.
Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November.
Sebelum ini, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum berhubung pembubaran DUN Melaka Ke-15 yang berkuat kuasa pada 23 September lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








