POLITIK

PRN Sabah: Rahman Dahlan tarik diri selepas tiga hari dicalonkan

CYBERJAYA – Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini mengumumkan menarik diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata, hasrat tersebut sudah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya telah memberitahu Presiden bahawa saya ingin memberi laluan kepada muka baharu dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti UMNO di DUN Tempasuk.

“Saya telah bertanding tiga kali di Parlimen Kota Belud (2013, 2018 dan 2022). Dua kali menang dan sekali kalah. Dalam ketiga-tiga pertandingan itu, UMNO tetap memenangi undi di DUN Tempasuk walaupun kalah di kerusi Parlimen,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Tambahnya, beliau percaya anak tempatan dari UMNO Kota Belud akan dapat menggalas tanggungjawab itu dengan lebih cemerlang.

“Sebagai ahli parti, saya akan terus membantu parti melalui kapasiti yang lain,” katanya.

Dalam hantaran sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada parti dan Ahmad Zahid kerana mengumumkan pencalonannya, 9 November lalu.

“Begitu juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan penyokong UMNO di DUN Tempasuk atas sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini,” katanya lagi.

Penarikan diri Abdul Rahman turut disahkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang berkata, tiada sebab yang jelas mengapa tindakan itu diambil selepas tiga hari beliau diumumkan sebagai calon kerusi berkenaan, lapor BH Online.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button