POLITIK

Suara rakyat bentuk dasar lebih responsif

PUTATAN – Suara rakyat merupakan elemen terpenting dalam membentuk dasar yang lebih responsif terhadap sesuatu isu.

Atas dasar itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Tanjong Keramat, Jeffery Nor Mohamed sentiasa meletakkan Program Ziarah Kasih sebagai agenda utama dalam rangka kempennya.

Semalam, Jeffrey yang Ketua UMNO Putatan melakukan ziarah ke Taman Pantai Lok Kawi, Taman Sipanggil dan Kampung Potuki bagi mendekati masyarakat dan mendengar sendiri keluh kesah mereka.

Kempen tersebut turut disertai rakan seperjuangan daripada Negeri Sembilan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yang turut hadir membantu gerak kerja kempen beliau.

Sepanjang sesi berkenaan, pelbagai isu komuniti berjaya dikenal pasti secara langsung, daripada keperluan infrastruktur asas, kebajikan penduduk hinggalah kepada aspirasi golongan muda yang mahukan pembangunan lebih progresif di kawasan mereka.

Zaidy berkata, kehadiran beliau dalam kempen itu adalah untuk memperkuat jentera BN sekaligus menghadirkan kejayaan buat parti.

“… Saya dan jentera BN komited untuk memastikan Tanjong Keramat terus berkembang sebagai kawasan yang stabil, mampan dan berkeupayaan menyediakan peluang untuk semua golongan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, semalam.

Program itu juga menunjukkan kerjasama erat antara pemimpin setempat yang turun padang, bukan sekadar menyantuni rakyat, tetapi betul-betul mendengar, satu pendekatan yang membezakan BN daripada parti lain yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Sebagai rekod, kerusi DUN Tanjong Keramat menyaksikan pertandingan 11 penjuru.

Selain Jeffrey, turut bertanding merebut kerusi DUN berkenaan adalah Shah Alfie Yahya (GRS), Sugarah @ Segarah Miasin (KDM), Farish Adamz @ Kanny (Perikatan Nasional), Saifullah Phang (Bebas), Mahadthir Asbollah (Parti Impian Sabah), Mil Kusin Abdillah (Anak Negeri), Azni Mohd Salleh (STAR), Rosdy Wasli (UPKO), Mohammad Firdaus Diun @ Awang (Warisan), dan Jasni Matlani (Parti Bumi Kenyalang).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button