JENAYAH & MAHKAMAH

PRN Sabah: 4 ditahan di Tawau susulan insiden khianat, sebar maklumat palsu

TAWAU – Empat individu ditahan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-17 di daerah ini, susulan beberapa insiden membabitkan perbuatan khianat dan penyebaran maklumat palsu dalam media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, tangkapan itu adalah hasil tindakan pantas pasukan siasatan dalam menangani laporan yang diterima sejak hari penamaan calon, lapor Buletin TV3.

Katanya, pihaknya sudah menerima tujuh laporan sepanjang tempoh kempen PRN di daerah ini, dengan lima kertas siasatan telah dibuka.

“Tiga daripadanya disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (perbuatan khianat), selain masing-masing satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Empat lelaki ditahan kerana disyaki terbabit insiden dilaporkan. Antaranya, perbuatan merosakkan bendera parti serta mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah atau tidak benar dalam media sosial,” katanya selepas hadir pada pengundian awal di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Jasmin berkata, kes berkenaan termasuk dakwaan penyebaran fitnah terhadap seorang calon bertanding, yang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kertas siasatan sudah disiapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang, bagi memastikan kempen PRN berlangsung secara aman serta terkawal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button