PRN Sabah: GRS lancar manifesto berteraskan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’
KOTA KINABALU Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan manifestonya bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berteraskan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ engan tema Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, teras tersebut dipacu menerusi empat rukun utama iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Maju ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Bersatu.
Kesemua rukun tersebut seterusnya diterjemahkan menerusi 16 strategi yang merangkumi pelbagai agenda pembangunan merentasi sektor ekonomi, infrastruktur, keselamatan, pendidikan, pembangunan modal insan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat, termasuk tuntutan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“GRS bertekad menyempurnakan segala yang terkandung dalam manifesto ini selaras dengan dasar hala tuju Sabah Maju Jaya, yang menjadi tonggak kerajaan negeri.
“Ia bersifat holistik dan inklusif demi kemajuan serta kesejahteraan rakyat,” katanya pada majlis pelancaran manifesto di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Hajiji, yang juga Ketua Menteri interim Sabah menegaskan, GRS bukan sahaja mampu mengekalkan kestabilan dan perpaduan, malah berupaya membawa perubahan dan kemajuan.
Menurutnya, parti gabungan itu telah membuktikan kemampuan dalam menyediakan asas kukuh ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat sepanjang lima tahun menerajui kerajaan negeri.
“Sesungguhnya, perjuangan GRS adalah dari rakyat, untuk rakyat, menuju Sabah yang maju dan makmur, tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai warganegara yang menjunjung kedaulatan undang-undang negara.
“Dengan manifesto yang komprehensif, berlandaskan iltizam dan komitmen, saya yakin GRS akan mendapat sokongan padu rakyat untuk menguasai 55 kerusi DUN yang dipertandingkan,” katanya.
Pada PRN kali ini, GRS bertanding di 55 daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 33 peratus daripadanya adalah muka baharu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah manakala 25 Nov ditetapkan bagi pengundian awal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








