Selangor Techsphere Summit kembali perkasa agenda teknologi industri
KUALA LUMPUR – Selangor Techsphere Summit kini kembali lagi dengan edisi bagi tahun ini akan berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Selangor Technical Skills Development Centre dan disokong HANNOVER MESSE, sidang kemuncak empat hari itu akan menghimpunkan pengilang, syarikat teknologi, pelabur, pembuat dasar serta penyelidik dari Malaysia dan ASEAN.
Sidang yang memberi tumpuan kepada penerapan kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik, pembuatan pintar dan teknologi digital termaju dalam operasi industri itu kembali sebagai komponen utama Selangor International Business Summit 2026.
Usaha itu juga selaras dengan usaha keajaan negeri dalam memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau bagi pembuatan termaju, inovasi industri dan pelaburan berasaskan teknologi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sidang kemuncak itu menyediakan platform kepada pemain industri untuk mendapatkan akses kepada idea, teknologi dan kerjasama baharu, terutama ketika sektor pembuatan berdepan perkembangan pesat teknologi, tuntutan kelestarian serta perubahan rantaian bekalan global.
“Selangor telah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi industri dan pelaburan terpenting di Malaysia. Adalah penting kerajaan dan industri bekerjasama mewujudkan keadaan yang menyokong inovasi dan pertumbuhan berterusan,” katanya.
Beliau mnambah, sidang kemuncak berkenaan turut menyumbang kepada fasa seterusnya pembangunan industri Selangor melalui peluang untuk perniagaan meneroka teknologi dan perkongsian strategik.
Persidangan itu akan membincangkan isu berkaitan pembuatan semikonduktor, kecekapan tenaga, pembangunan tenaga kerja, pelaburan dan pertumbuhan industri serantau, selain menyediakan pameran teknologi, mesyuarat perniagaan dan sesi jaringan.
Antara penceramah yang disahkan ialah Alex Capri, bekas pegawai Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan pakar geopolitik serta techno-nationalism, yang akan menyampaikan ucaptama pada hari pertama, manakala Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang baharu dilantik, Jacob Lee Chor Kok, akan menyampaikan ucapan pembukaan pada hari kedua.
Sementara itu, Pengarah Komersial Kanan Hannover Fairs Asia-Pacific Mike Nissen berkata, transformasi industri bukan lagi sekadar soal penggunaan teknologi secara berasingan, sebaliknya memerlukan pengilang menyelaraskan teknologi, tenaga kerja, pelaburan dan strategi perniagaan jangka panjang.
Edisi pada tahun 2025 berjaya menarik 1,535 peserta, 21 pempamer dan 39 penceramah dari lebih 15 negara, manakala edisi 2026 dijangka memperluas peluang pertukaran pengetahuan, penerokaan teknologi, penglibatan pelaburan dan pembangunan perniagaan serantau.
Orang ramai terutamanya golongan profesional industri, wakil kerajaan, pelabur, penyelidik, pendidik serta pemimpin teknologi dijemput mendaftar di pautan berikut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








