BERITA SEMASA

RCI Tabung Haji: BNM sudah lima kali beri amaran kepada TH sejak 2014 – Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan lima amaran kepada Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2014 berhubung jurang aset dan liabiliti yang semakin melebar serta risiko daripada pembayaran agihan keuntungan yang tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, amaran berkenaan diberikan ketika kedudukan kewangan TH semakin merosot, dengan rizab institusi itu berisiko menjadi negatif.

Katanya, meskipun BNM bukan pengawal selia TH, bank pusat itu tetap menyuarakan kebimbangan terhadap kesan pembayaran agihan keuntungan yang tinggi terhadap rizab TH yang sememangnya rendah.

“BNM mula menyuarakan kebimbangan sejak 2014 mengenai kesan amalan membayar agihan keuntungan yang tinggi, yang menyebabkan rizab yang sudah rendah menjadi negatif,” katanya ketika membahaskan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di Dewan Rakyat, hari ini.

Baca juga : Dakwaan aset Tabung Haji dijual kepada Cina tidak benar, kerajaan ‘bailout’ lebih RM10 bilion pulihkan kedudukan kewangan – Menteri Agama

Zulkifli berkata, lima surat amaran itu dikemukakan BNM kepada Pengerusi TH dan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama ketika itu, khususnya berkaitan jurang antara aset dan liabiliti TH.

“Mereka diberi amaran bukan sekali, bukan dua kali, bukan tiga kali, tetapi lima kali bahawa keadaan itu perlu diperbetulkan segera bagi memastikan TH tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, amaran berkenaan dibuat kerana kegagalan menangani masalah tersebut boleh memberi implikasi serius terhadap kestabilan kewangan negara.

Katanya, RCI mendapati kedudukan kewangan TH terus memburuk sehingga defisit aset berbanding liabiliti melebihi RM10 bilion pada suku keempat 2018.

Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan TH berdepan risiko pengeluaran wang secara besar-besaran oleh pendeposit, manakala usaha mendapatkan pembiayaan siap siaga sekiranya berlaku ‘bank run’ juga gagal.

“Keseluruhan deposit TH dijamin kerajaan, sekali gus mendedahkan kerajaan kepada potensi liabiliti kira-kira RM74.5 bilion sekiranya institusi itu mengalami kejatuhan.

“Krisis itu turut diserlahkan melalui penemuan Ketua Audit Negara dalam penyata kewangan 2017, termasuk penegasan perkara berkaitan perubahan dasar kemerosotan nilai TH,” katanya.

Zulkifli berkata, dasar berkenaan diubah dua kali pada tahun sama, membolehkan TH melaporkan keuntungan lebih tinggi bagi 2017.

Susulan pertukaran kerajaan pada 2018, lembaga pengarah baharu TH melantik PwC untuk menilai semula kedudukan dan prestasi kewangan institusi itu berdasarkan piawaian perakaunan yang terpakai.

“Semakan itu mendapati TH berada dalam keadaan kewangan kritikal, sekali gus mendorong kerajaan melaksanakan pelan penstrukturan semula,” katanya.

Zulkifli berkata, krisis itu menunjukkan kesan kegagalan mengambil tindakan terhadap amaran mengenai kesihatan kewangan institusi berkenaan.

“Amaran daripada BNM bukan tanpa asas. Jika tidak ditangani, ia berisiko membawa kesan serius terhadap kestabilan kewangan negara,” katanya.

Beliau berkata, RCI kemudian mengesyorkan pembaharuan terhadap tadbir urus, pelaporan kewangan dan pengurusan pelaburan TH, dengan lebih 75 peratus daripada syor berkaitan itu sudah dilaksanakan.

Dewan Rakyat mengadakan persidangan khas sehari hari ini bagi membincangkan laporan RCI berkenaan, dengan prosiding bermula jam 10 pagi menerusi penjelasan Zulkifli, diikuti sesi pertanyaan dan perbahasan Ahli Parlimen.

Antara penemuan utama laporan berkenaan ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan, serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira secukupnya susut nilai dan penurunan nilai saksama pelaburan.

Laporan itu mendapati TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button