Dasar pengantarabangsaan tidak jejas akses pendidikan anak tempatan di UA
KUALA LUMPUR – Dasar pengantarabangsaan pendidikan dilaksanakan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global, namun tidak sekali-kali mengabaikan peluang akses pendidikan tinggi kepada anak tempatan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pengambilan pelajar antarabangsa di semua universiti awam (UA) sentiasa dipantau rapi bagi memastikan ia tidak menjejaskan peluang pelajar tempatan, yang tetap menjadi keutamaan dalam sektor pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata, setakat 31 Disember 2024, seramai 180,024 pelajar berada di lima universiti penyelidikan (RU) bagi peringkat pra dan pasca siswazah, iaitu 141,636 orang (78.7 peratus) pelajar tempatan dan 38,388 orang (21.3 peratus) pelajar antarabangsa.
Bagi peringkat prasiswazah, Mustapha menjelaskan, jumlah kemasukan pelajar antarabangsa adalah terhad, iaitu hanya 8.4 peratus, dengan fokus utama adalah program ijazah sarjana muda dan subsidi kerajaan untuk anak tempatan saja.
“Berbeza bagi peringkat pascasiswazah, tiada had kemasukan ditetapkan untuk pelajar antarabangsa di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) kerana setiap UA mempromosikan kualiti serta kesohoran institusi masing-masing melalui dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
“Jadi masalah sebenarnya, yang selalu dipetik adalah statistik merangkumi pra dan pasca siswazah, sebab itu nampak besar, iaitu kira-kira 20 peratus.
“Jika diperincikan, kita boleh lihat bagi prasiswazah, jumlah pelajar antarabangsa adalah di bawah 10 peratus saja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi KPT di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, yuran dikenakan kepada semua pelajar antarabangsa juga tanpa subsidi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








