400 mahasiswa Sabah sertai i-FUTURE, gilap kepimpinan belia era digital
KOTA KINABALU – Lebih 400 mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini menyertai program International Young Future Leaders (i-FUTURE) yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UMS itu memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan belia dalam menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompleks.
Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang melalui ucapannya
menekankan pentingnya kepemimpinan beretika dan inklusif dalam landskap digital yang sentiasa berubah.
“Kepimpinan kini tidak lagi hanya terbina dalam ruang rasmi seperti organisasi atau pentas politik malah turut terbentuk di platform digital seperti TikTok, X dan Facebook yang membentuk budaya, perbualan serta mencetuskan perubahan sosial,” katanya dalam ucapan bertajuk “Youth Leadership in a Digital World”.
Mengulas lanjut, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap jurang digital yang masih ketara terutama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, sekali gus mengehadkan penyertaan aktif golongan belia dalam ekosistem kepimpinan digital.
Menurutnya, meskipun ramai belia sudah menyedari keperluan celik digital untuk menjadi pemimpin masa depan, kekangan akses kepada peranti, internet dan peluang bimbingan masih menjadi cabaran utama.
“i-FUTURE menjadi platform penting untuk merapatkan jurang ini, dengan melahirkan pemimpin muda yang bukan sahaja cekap teknologi, tetapi bertanggungjawab terhadap nilai kemanusiaan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya lagi.

Program i-FUTURE merupakan inisiatif kebangsaan yang dimulakan oleh KPT sejak tahun lalu dan telah dilaksanakan di beberapa universiti utama.
Edisi kali ini merupakan penganjuran sulung di Sabah dan menjadi platform keterangkuman pelajar merentas latar belakang institusi serta bidang pengajian.
Antara pengisian menarik program termasuk ceramah oleh Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sabah, Ratnawaty Talib bertajuk “Cyber Youth: Navigating AI In A Dangerous Digital World” serta forum “Youth x AI: Youth Navigating the Digital Future” yang membincangkan peluang serta cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan belia bersama panel industri dan mahasiswa.
Turut hadir, Naib Canselor UMS, Datuk Profesor Dr. Kasim Mansor dan barisan pengurusan tertinggi universiti berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








