KPT perkukuh kerjasama serantau, sasar Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memperkukuh hubungan dua hala dengan negara serantau dalam usaha menjadikan Malaysia destinasi utama pelajar antarabangsa.
Menurut KPT dalam satu kenyataan hari ini, sistem pendidikan tinggi negara yang berkembang pesat serta kualiti institusi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menjadi antara faktor utama menarik kemasukan pelajar asing khususnya dari rantau ASEAN.
Sebagai langkah memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim telah mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Indonesia bermula Jumaat lalu.
Katanya, Indonesia merupakan antara penyumbang tertinggi pelajar antarabangsa ke Malaysia dengan seramai 11,293 pelajar direkodkan setakat Mac 2025.
“Lawatan itu membuka ruang lebih luas kepada kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang pendidikan tinggi termasuk penyelidikan, pertukaran pelajar dan pensyarah serta pembangunan teknologi,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut beliau, antara bidang tumpuan kerjasama yang dipersetujui untuk diperkukuh ialah kecerdasan buatan (AI), teknologi tenaga boleh diperbaharui dan aeroangkasa.
Kolaborasi sedia ada antara institusi pendidikan tinggi (IPT) kedua-dua negara juga terus diperluas.
Sehingga Disember 2024, sebanyak 464 perjanjian kerjasama antara IPT Malaysia dan Indonesia telah dimeterai yang merangkumi program mobiliti pelajar dan pembangunan kapasiti tenaga pengajar.
Selain itu, biasiswa Malaysia International Scholarship (MIS) turut ditawarkan kepada pelajar antarabangsa termasuk dari Indonesia.
Sehingga penghujung tahun lalu, seramai 21 pelajar dari negara itu telah menerima manfaat biasiswa berkenaan.
Dalam masa sama, agensi di bawah KPT, Education Malaysia Global Services (EMGS), turut giat memperhebat promosi pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa.
Ketika lawatan tersebut, turut berlangsung program promosi pendidikan “MEGA Ayo Kuliah di Malaysia 2025” yang diadakan di Jakarta semalam dengan penyertaan 21 IPT dari Malaysia.
Anesee dalam ucapannya semasa program itu berkata, inisiatif seperti Graduate Pass yang memberi kemudahan visa selama setahun selepas tamat pengajian, merupakan satu daripada langkah signifikan memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan.
“Inisiatif itu dilancarkan semasa Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di Langkawi pada Jun lalu dan bertujuan memberi nilai tambah kepada pelajar antarabangsa yang menamatkan pengajian di negara ini,” katanya.
Selain itu, inisiatif ASEAN Global Exchange Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS) juga diperkenalkan sebagai platform atas talian bagi menyenaraikan maklumat biasiswa yang ditawarkan oleh negara-negara ASEAN.
“Sehingga kini, lebih 300 penyedia biasiswa telah menyertai ASEAN GEMS dengan komitmen melebihi RM19 juta untuk manfaat pelajar yang ingin melanjutkan pengajian tinggi,” menurut kenyataan KPT.
Kementerian itu optimis pendekatan bersepadu itu akan melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan bertaraf global dan selari dengan teras Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta dan keyakinan negara di persada antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








