
500,000 pelajar IPT terima manfaat baucar buku MADANI RM100 mulai esok
PUTRAJAYA – Seramai 500,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bakal menerima manfaat daripada inisiatif baucar buku MADANI bernilai RM100 yang akan mula dilaksanakan esok hingga 12 Disember ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pemberian baucar itu melibatkan pelajar universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti serta IPT swasta.
Menurut KPT, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menyokong keperluan pembelajaran mahasiswa selain meringankan beban kewangan mereka.
“Inisiatif ini juga bertujuan membudayakan amalan membaca dalam kalangan generasi muda, khususnya mahasiswa, di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi industri buku,” katanya.
Baucar berkenaan boleh digunakan untuk pembelian buku akademik, bahan rujukan, bacaan ilmiah dan pelbagai bahan lain melalui portal MySiswaPlace.
Platform sehenti itu menyediakan lebih sejuta judul bacaan termasuk buku fizikal dan e-book daripada lebih 250 rakan niaga, selain berfungsi bagi semakan kelayakan, penjanaan baucar, penebusan serta pembelian bahan bacaan secara dalam talian sepenuhnya.
Dalam pada itu, KPT merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan kerajaan meneruskan pelaksanaan baucar buku RM100 untuk pelajar IPT warganegara Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








