BERITA SEMASA

Kursus pendidikan tetap relevan walau graduan tidak ceburi profesion perguruan – Zambry

KUALA LUMPUR – Penawaran kursus pendidikan di universiti awam tetap relevan walaupun graduan tidak menceburi profesion perguruan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurut Zambry, program pendidikan bukan sekadar melahirkan guru, sebaliknya membekalkan graduan dengan kemahiran yang boleh digunakan dalam pelbagai sektor.

“Graduan pendidikan dilatih dengan pelbagai kemahiran insaniah, pedagogi, teknologi pendidikan, komunikasi, kepimpinan dan penyelidikan yang relevan dengan pelbagai sektor lain.

“Oleh itu, mereka berpotensi menyumbang bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di sektor swasta, industri latihan, kaunseling, pengurusan sumber manusia, pembangunan komuniti dan sektor kerajaan yang lain,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Zambry menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) berhubung rasional penawaran kursus pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekiranya graduan tidak diberikan keutamaan untuk berkhidmat sebagai pendidik.

Muhammad Islahuddin berkata, perkara itu boleh mengakibatkan pembaziran sumber negara dan menjejaskan kebolehpasaran graduan, pada masa sama sekolah-sekolah awam masih berdepan kekurangan guru dalam beberapa bidang kritikal.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, isu pelantikan guru bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) dan bergantung kepada unjuran tahunan, opsyen kritikal serta kemampuan fiskal kerajaan.

Walau bagaimanapun, graduan pendidikan daripada IPTA masih boleh memohon melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) seperti calon lain.

Berkaitan kebolehpasaran graduan, Zambry memaklumkan Kajian Pengesanan Graduan menunjukkan graduan pendidikan memiliki kadar kebolehpasaran yang baik, sama ada dalam bidang keguruan mahupun bidang alternatif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button