BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

KPM tambah 300 CCTV, tegaskan keselamatan pelajar jadi keutamaan

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan akan memperkukuh aspek keselamatan sekolah di seluruh negara memandangkan hanya 28.94 peratus kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah didapati berfungsi ketika ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keadaan itu perlu ditangani segera kerana keselamatan sekolah merupakan asas kepada keyakinan ibu bapa dan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.

“Apabila kita bercakap tentang keselamatan sekolah, ia adalah soal keyakinan ibu bapa dan masyarakat kepada kita. Jika hanya 28 peratus CCTV berfungsi atau tidak berfungsi, itu adalah tanggungjawab kita untuk menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Amanat Menteri Pendidikan 2026 di auditorium KPM di sini, hari ini.

Baca juga : KPM peruntuk RM5 juta pasang CCTV, tangani disiplin dan kukuh keselamatan sekolah

Menurut beliau, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan menambah sebanyak 300 unit CCTV di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara, selain memastikan penyelenggaraan dilaksanakan secara berterusan supaya semua peralatan keselamatan itu benar-benar berfungsi.

Sehubungan itu, Fadhlina mengarahkan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)serta pihak sekolah agar memastikan setiap CCTV berada dalam keadaan baik dan beroperasi sepenuhnya.

“KPM mempunyai peruntukan penyelenggaraan dan kita akan pastikan CCTV ini terus berfungsi. Ia mesti dibawa bersama dengan tanggungjawab,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KPM juga tidak menutup ruang kerjasama dengan pihak luar, termasuk sektor swasta, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat dalam usaha menaik taraf sistem keselamatan sekolah, memandangkan kos pemasangan dan penyelenggaraan adalah tinggi.

“Apa sahaja bentuk kerjasama, kita jangan terlalu ketat di peringkat kementerian. Jika ada pihak yang mahu membantu, kita buka jalan dan kita sokong. Ini semua sekolah kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fadhlina mengakui pelaksanaan sesi persekolahan bermula Januari tahun ini mungkin melibatkan sedikit kekangan, namun KPM akan mengambil semua saranan secara serius bagi memastikan persediaan lebih awal dapat dibuat pada masa hadapan.

Beliau menegaskan, keselamatan pelajar kekal sebagai keutamaan kementerian dan akan terus diperkukuh melalui pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai pihak demi memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button