BERITA SEMASA

Integriti asas bentuk kepimpinan masa depan – SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh usaha memupuk nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam kalangan generasi muda menerusi program pendidikan dan pencegahan rasuah.

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, golongan muda memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan sesebuah negara, justeru nilai integriti perlu diterapkan sejak di institusi pengajian agar menjadi pegangan dalam kehidupan dan kerjaya mereka.

Beliau berkata demikian ketika menerima lawatan akademik membabitkan 25 pelajar Fakulti Undang-Undang Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia ke SPRM Selangor di Shah Alam, semalam.

“SPRM bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek penguatkuasaan, malah turut komited memperkukuh usaha pendidikan dan pencegahan melalui program seperti ini bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah serta kepentingan membina budaya berintegriti.

“Saya berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang lawatan ini dapat meningkatkan kefahaman para peserta mengenai kepentingan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, seterusnya menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi yang beretika serta berintegriti dalam bidang masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup program.

Hadir sama, Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Selangor, Rosmadi Kasim.

Sepanjang lawatan itu, para pelajar diberi taklimat mengenai fasiliti SPRM Selangor oleh pegawai SPRM Selangor, Hidayat Aziz, sebelum mengikuti sesi bertajuk Practical Insights into Anti-Corruption Enforcement yang disampaikan Timbalan Pengarah Operasi SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim.

Taklimat tersebut merangkumi struktur organisasi SPRM, fungsi setiap bahagian, peranan SPRM negeri dalam penguatkuasaan, selain pendedahan mengenai aspek penyiasatan, pelaksanaan operasi serta inisiatif pencegahan rasuah. Program itu diakhiri dengan sesi perbincangan dan soal jawab bersama peserta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button