BERITA SEMASA

PRN Melaka: Ada penduduk menerima, ada menolak, Muhammad Faiq tetap dekati pengundi di Serkam

SERKAM – Penerimaan berbeza dalam kalangan penduduk terhadap kehadirannya sebagai calon tidak menghalang Muhammad Faiq Azman daripada terus mendekati masyarakat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam itu berkata, beliau memahami setiap individu mempunyai pendirian serta pandangan politik tersendiri yang perlu dihormati.

Menurutnya, keadaan itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana perbezaan pendapat turut berlaku dalam kalangan masyarakat, termasuk individu yang berada dalam kelompok politik sama.

“Ada yang boleh menerima, ada yang tidak boleh menerima. Tapi bagi kita, tidak ada masalah kerana manusia ini mempunyai pendapat dan pandangan yang amat berbeza,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memilih untuk tidak menjadikan perbezaan sokongan sebagai penghalang, sebaliknya terus mendekati penduduk dengan pendekatan mesra dan penuh sopan.

Katanya, layanan sama akan diberikan kepada semua pihak tanpa mengira warna atau kecenderungan politik masing-masing.

“Saya tetap santuni dengan kemesraan dan sesopan yang mungkin. Saya akan santuni walaupun siapa pun mereka, sama ada biru, hijau atau merah sekalipun,” katanya.

Muhammad Faiq berkata, prinsip tidak membezakan masyarakat berdasarkan sokongan politik itu merupakan pendekatan yang mahu dikekalkannya sepanjang masa.

Jelasnya, sekiranya berjaya memperoleh mandat, kemenangan berkenaan bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan dengan adil dan bertanggungjawab.

Beliau turut menegaskan tidak akan mengamalkan sikap pilih kasih dalam memberikan khidmat kepada penduduk sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Muhammad Faiq yang bertanding sebagai calon muka baharu PH akan berhadapan Datuk Azman Abdullah (BN) dan Muhammad Saffie Md Yasan (Parti Bersama Malaysia) dalam saingan tiga penjuru di DUN Serkam.

Kerusi berkenaan sebelum ini dimenangi BN menerusi Datuk Zaidi Attan yang memperoleh majoriti 79 undi pada PRN Melaka ke-15 dalam pertandingan empat penjuru.

PRN Melaka ke-16 akan berlangsung pada 14 November ini, manakala pengundian awal dijadualkan pada 10 November.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button