Zaliha gesa SPR siasat dakwaan agihan wang tunai di JAPERUN Rim
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menyiasat dakwaan pengagihan bakul makanan dan wang tunai di premis Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rim yang dikaitkan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku semalam, kira-kira jam 9.50 pagi itu perlu diberikan perhatian serius, khususnya kerana ia berlaku dalam tempoh kempen pilihan raya.
Menurutnya, pengagihan berkenaan membabitkan bakul makanan sempena perayaan Deepavali serta wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM50, menerusi program yang didakwa dianjurkan Majlis Perbandaran Jasin.
Beliau berkata, penglibatan calon pilihan raya dalam program pengagihan bantuan di premis kerajaan ketika tempoh berkempen menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan penyalahgunaan kemudahan awam untuk memperoleh kelebihan politik.
“Premis dan kemudahan kerajaan tidak seharusnya digunakan bagi tujuan kempen atau memberikan kelebihan kepada mana-mana calon dan parti politik.
“Begitu juga dengan pemberian wang tunai atau barangan yang bertujuan mempengaruhi pengundi, yang boleh menjadi suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Zaliha menggesa SPR bersama pihak berkuasa berkaitan meneliti laporan polis dan rakaman video yang telah dibuat serta menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Katanya, siasatan juga perlu menentukan sama ada terdapat unsur penyogokan pilihan raya mengikut Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Beliau menegaskan penguatkuasaan undang-undang pilihan raya perlu dilaksanakan secara tegas dan tanpa pilih kasih.
“Sebarang penyalahgunaan kemudahan kerajaan atau pemberian yang bertujuan mempengaruhi pengundi perlu dikenakan tindakan sewajarnya sekiranya terbukti berlaku, tanpa mengira siapa yang terlibat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














