BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Perpaduan ASEAN penting tangani isu Laut China Selatan – Khaled

KUALA LUMPUR – Perpaduan negara anggota ASEAN perlu terus dipelihara bagi memastikan pertikaian di Laut China Selatan tidak menjejaskan keamanan serantau yang dibina sejak hampir enam dekad lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu Laut China Selatan merupakan antara ujian paling penting terhadap perpaduan, kredibiliti dan komitmen ASEAN terhadap prinsip penubuhannya.

Beliau berkata, meskipun beberapa negara anggota mempunyai tuntutan maritim yang bertindih, setiap negara mempunyai kepentingan yang sah dalam melindungi kedaulatan dan hak wilayah masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, perbezaan tuntutan itu tidak seharusnya dibiarkan memecahbelahkan ASEAN atau menggugat keamanan yang telah dibina selama berdekad-dekad.

“Namun, tiada pertikaian, sedalam mana sekalipun akarnya, seharusnya dibiarkan memecahbelahkan ASEAN atau menjejaskan keamanan yang telah kita bina selama berdekad-dekad,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 di Cebu, Filipina hari ini.

Mohamed Khaled berkata, masa depan ASEAN tidak dapat dijamin oleh mana-mana negara anggota yang bertindak secara bersendirian, sebaliknya bergantung pada kepercayaan sesama anggota, kesediaan mengurus perbezaan secara membina dan tekad mempertahankan kepentingan lebih luas rantau ini.

Menurutnya, keamanan dan kestabilan ASEAN tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang terjamin kerana pencapaian sepanjang hampir enam dekad lalu merupakan hasil dialog berterusan, pilihan yang dibuat secara sedar dan kemahuan politik untuk bekerjasama meskipun terdapat perbezaan.

Beliau berkata, keupayaan ASEAN mengekalkan dialog ketika berhadapan perselisihan yang sukar merupakan antara pencapaian terbesarnya, selain kejayaan mengekalkan persekitaran aman dan stabil yang membolehkan ekonomi serta masyarakat rantau ini berkembang maju.

“Ketika ASEAN menghampiri ulang tahun ke-60 penubuhannya pada tahun depan, kita wajar merenung salah satu pencapaian terbesarnya iaitu keupayaan untuk meneruskan dialog meskipun berhadapan dengan perselisihan yang paling sukar, serta mengekalkan persekitaran keamanan dan kestabilan yang membolehkan ekonomi dan masyarakat kita berkembang maju,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, ADMM yang memasuki tahun ke-20 perlu bergerak melangkaui pendekatan lama bagi menangani ancaman keselamatan yang semakin berkembang.

“Sejak penubuhannya, ADMM telah berkembang menjadi platform praktikal bagi kerjasama pertahanan, pembinaan keyakinan dan tindak balas kolektif terhadap cabaran keselamatan bersama.

“Ketika ADMM memasuki dekad ketiga, kita perlu bersedia untuk melakukan lebih daripada sekadar menghadapi ancaman baharu dengan pendekatan lama.

“Kita memerlukan kesiapsiagaan kolektif yang lebih tinggi, penyelarasan yang lebih kukuh serta pelaburan berterusan dalam keupayaan yang memberikan manfaat nyata kepada rakyat,” tegasnya.

Tambah beliau, ukuran sebenar kejayaan ADMM bukan sekadar kerjasama yang telah diwujudkan, tetapi juga tahap keselamatan dan ketahanan yang terhasil daripada kerjasama tersebut.

“Malaysia kekal komited untuk memperkukuh ADMM, mempertahankan prinsip Sentraliti ASEAN dan membina komuniti serantau yang lebih selamat serta berdaya tahan.

“ASEAN yang kita wariskan kepada generasi akan datang perlu lebih kukuh, bersatu dari segi matlamat, bersedia menghadapi cabaran dan yakin terhadap keupayaannya menentukan masa depan sendiri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button