Jemputan saat akhir punca Jalaluddin tidak hadir istiadat angkat sumpah MB Negeri Sembilan
SEREMBAN – Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menjelaskan ketidakhadirannya pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, berpunca daripada notis jemputan yang diterimanya pada saat akhir.
Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, jemputan daripada pihak Protokol Negeri diterimanya pada jam 4.50 pagi pada hari istiadat berlangsung, ketika beliau telah pun mempunyai komitmen rasmi yang lebih awal dijadualkan di kawasannya.
Menurut beliau, notis berkenaan hanya dibaca selepas menunaikan solat Subuh, menyebabkan beliau tidak dapat mengubah jadual yang telah ditetapkan.
“Benda itu (jemputan majlis) ‘last’ minit, saya terima 4.50 pagi daripada pihak protokol.
“Saya buka dan baca lepas solat Subuh sedangkan saya sudah atur satu majlis lain di kawasan yang memerlukan kehadiran saya,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan pelbagai spekulasi dan reaksi yang timbul di media sosial mengenai ketidakhadirannya dalam istiadat mengangkat sumpah Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, semalam.
Sebelum ini, Ismail turut menjelaskan bahawa jemputan kepada semua ADUN dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, namun notis yang diterima pada saat akhir berkemungkinan menyebabkan sebahagian wakil rakyat mempunyai komitmen lain.
Mengulas lanjut, Jalaluddin menegaskan bahawa keutamaan kini adalah memastikan kerajaan negeri baharu melaksanakan amanah yang diberikan rakyat selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata semua wakil rakyat, termasuk Menteri Besar dan barisan EXCO yang bakal dilantik, perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan manifesto serta meningkatkan mutu tadbir urus kerajaan negeri.
Pada masa sama, Jalaluddin menafikan dakwaan beliau kecewa dengan perkembangan politik semasa, sebaliknya menyifatkan matlamat utama untuk mengambil alih pentadbiran negeri telah berjaya dicapai.
“Saya tidak ada rasa kecewa atau putus asa. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana rakyat telah memberikan mandat untuk mentadbir Negeri Sembilan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















