BERITA SEMASA

SPR ingatkan pengundi pos tidak tularkan kertas undi

SEREMBAN – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengingatkan para pengundi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 supaya tidak menularkan gambar kertas undi mereka di media sosial.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengeluarkan sebanyak 13,263 kertas undi pos hari ini bagi individu yang berhak untuk mengundi secara pos pada PRN berkenaan.

“SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Dewan Negeri berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi, iaitu pada 1 Ogos 2026.

“Pengundi juga diingatkan supaya sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

SPR menetapkan tarikh pengundian bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini, manakala hari penamaan calon pada 18 Julai dan hari mengundi awal pada 28 Julai.

Khairul Shahril berkata, daripada keseluruhan kertas undi pos yang dikeluarkan, sebanyak 12,669 kertas undi adalah bagi petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media yang memohon di bawah Kategori 1A.

Bagi Kategori 1B, sebanyak 343 kertas undi pos dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap di luar negara.

“Selain itu, sebanyak 251 kertas undi pos dikeluarkan kepada pegawai bagi Kategori 1C dari 11 agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya.

Jelas beliau, pengeluaran kertas undi itu dibuat bagi membolehkan pengundi berkenaan melaksanakan tanggungjawab seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button