PRN Negeri Sembilan: Wajah baharu diperlukan untuk bawa pembaharuan di Rantau
REMBAU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini sebagai masa terbaik untuk rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memberi peluang kepada kepimpinan baharu yang mampu meneruskan pembangunan serta membawa pembaharuan mengikut keperluan semasa.
Naib Ketua PKR Cabang Rembau, S Sugumaran berkata, walaupun jasa penyandang terdahulu, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak pernah dinafikan, sudah tiba masanya Rantau dipimpin oleh generasi baharu yang lebih dekat dengan aspirasi masyarakat hari ini.

“Saya lahir dan membesar di Rantau. Saya rasa pembaharuan di Rantau perlu bermula dengan wajah baharu.
“Kita tidak membelakangkan kejayaan dan jasa Tok Mat di Rantau ini, tetapi kita perlukan darah yang baharu untuk memajukan Rantau mengikut peredaran masa,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune di Kampung Nyatuh, di sini hari ini.
Beliau berkata, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N27 Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi memiliki kelebihan sebagai calon muda, mesra rakyat dan aktif dalam mendekati masyarakat.
“Saya lihat Dr Hakim seorang yang peramah, muda lagi dan aktif.
“Saya anggap beliau mampu membawa perubahan kepada DUN Rantau. Sebagai doktor, beliau dapat merawat penduduk di sini,” katanya.
Mengulas perkembangan kempen, Sugumaran berkata, PH memilih untuk menumpukan kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat tanpa memainkan sentimen kaum, agama atau isu berkaitan krisis adat di Negeri Sembilan.
Menurutnya, kempen yang dibawa memberi penekanan kepada pencapaian kerajaan PH sejak 2018 serta tawaran manifesto yang memfokuskan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kita membawa naratif di Rantau ini, kita tidak menyentuh isu perkauman atau krisis di Negeri Sembilan.
“Sebaliknya, kita mengetengahkan kemajuan dan pembangunan yang dibangunkan oleh Pakatan Harapan sejak 2018 termasuk pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan serta manifesto PRN kali ini yang berasaskan pelaburan, rizab negeri dan program masyarakat.
“Kita tak sentuh langsung isu kaum, agama atau perkara yang berkaitan krisis adat di negeri ini,” katanya.
Mengulas persepsi bahawa pertandingan di Rantau menyaksikan pertembungan antara figura politik berpengaruh dan calon baharu, Sugumaran berkata, PH menghormati sumbangan Mohamad, namun percaya sudah tiba masanya rakyat memberi peluang kepada kepimpinan generasi baharu.
“Seperti yang saya cakap tadi, kita tidak membelakangkan atau menolak jasa Tok Mat, tetapi kita berharap satu perubahan wajah baharu untuk Rantau,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















