PRN Negeri Sembilan: Ustaz Alif tawar perkhidmatan kereta percuma ke hospital, Rumah Warga Emas Transit jika dipilih
REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Ustaz Alif Ibrahim menawarkan dua inisiatif kebajikan iaitu perkhidmatan kereta percuma ke hospital dan penubuhan Rumah Warga Emas Transit sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, kedua-dua inisiatif itu dirangka bagi memenuhi keperluan masyarakat, khususnya golongan warga emas dan keluarga yang memerlukan bantuan.

Menurutnya, perkhidmatan kereta percuma ke hospital bukanlah perkara baharu kerana pernah dilaksanakan ketika beliau menggerakkan program di Taman Al-Quran pada 2017.
“Insya-Allah, dua perkara yang saya akan bawakan di DUN Kota ini. Pertama, kereta percuma ke hospital. Program ini pernah kita laksanakan di Taman Al-Quran pada 2017 dan sekarang saya melihat ia perlu diketengahkan di DUN Kota kerana ia merupakan satu keperluan.
“Kedua, kami akan menyediakan satu projek atau program Rumah Warga Emas Transit di DUN Kota. Kita lihat ramai warga emas tinggal bersendirian kerana anak-anak mereka bekerja di luar.
“Kami mengambil inisiatif untuk menjaga mereka di sini, manakala anak-anak boleh bekerja mencari nafkah. Tetapi mereka mesti berjanji setiap Sabtu dan Ahad pulang menziarahi ibu bapa masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Tribune selepas menghadiri Program Pertandingan Futsal DUN Kota Tertutup di Kompleks Futsal Sungai Layang, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Pilihanraya Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mengulas mengenai kempen pilihan raya, Alif berkata sambutan yang diterima daripada pengundi amat menggalakkan dan beliau melihat semakin ramai rakyat sudah membuat keputusan berdasarkan penilaian terhadap prestasi calon di lapangan.
“Alhamdulillah, hari ini perkembangan kempen sangat baik. Rakyat sudah ada yang bertekad memilih wakil rakyat mereka berdasarkan dapatan daripada lapangan.
“Kita juga semakin profesional dalam membawa politik demokrasi yang baik. Tiada serangan peribadi, tiada serangan yang tidak berfakta dan tiada fitnah antara satu sama lain.
“Perkembangan ini menunjukkan kepada anak-anak muda bahawa politik merupakan medan yang baik untuk mereka ceburi,” katanya.
Beliau berkata, pertandingan futsal yang disertai 16 pasukan dari seluruh DUN Kota menjadi platform terbaik untuk mendekati golongan belia selain mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau merayu pengundi khususnya anak-anak muda di DUN Kota supaya pulang mengundi pada 1 Ogos dan memberikan mandat kepadanya untuk berkhidmat kepada masyarakat di kawasan tersebut.
“Dengan rasa rendah diri saya memohon anak-anak muda dan seluruh rakyat di DUN Kota supaya balik mengundi pada 1 Ogos dan memberikan saya peluang untuk berkhidmat di DUN Kota ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















