Dr Hakim tawar agenda keluarga, ekonomi dan belia untuk bangunkan Rantau
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi menggariskan tiga fokus utama merangkumi kebajikan keluarga, pemerkasaan ekonomi dan pembangunan kemahiran belia sebagai agenda yang akan diperjuangkannya sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, fokus tersebut bertujuan memastikan rakyat menikmati perubahan yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian, sekali gus membawa nafas baharu kepada pembangunan Rantau menerusi pendekatan politik yang matang dan berteraskan dasar.
“Jika diberi mandat, fokus utama saya jelas memastikan perubahan yang rakyat boleh rasa, bukan sekadar janji di atas kertas. Kita mahu hidupkan nafas baharu di Rantau dengan politik matang dan sihat.
“Kita mahu bincangkan idea yang bersifat dasar, bukan sekadar emosi semata. Justeru itu, saya tekankan tekad ini agar semua rakyat boleh menilai nanti,” katanya pada sidang media kempen PRN Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini hari ini.
Menurut Dr Hakim, tekad pertama yang akan diberi keutamaan ialah memperkukuh institusi keluarga dengan meningkatkan kebajikan warga emas, memperkasa wanita serta memastikan setiap keluarga mendapat sokongan yang sewajarnya.
Beliau berkata, langkah itu penting memandangkan Malaysia kini sedang menuju ke arah negara menua dengan pertambahan populasi warga emas yang memerlukan perhatian dalam aspek penjagaan, kesihatan dan kesejahteraan hidup.
“Hari ini, Malaysia sedang berdepan perubahan demografi yang besar. Hampir satu daripada 12 rakyat Malaysia sudah berumur 65 tahun ke atas.
“Di Rantau, kita mahu warga emas kita hidup dengan lebih dihargai, wanita kita diberi ruang untuk maju dan setiap keluarga mendapat sokongan yang mereka perlukan. Ukuran kejayaan sesebuah kawasan bukan hanya pada bangunan yang dibina, tetapi bagaimana kita menjaga manusia yang tinggal di dalamnya,” katanya.
Bagi memperkukuh ekonomi setempat, Dr Hakim berkata beliau mahu memastikan pembangunan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya peniaga kecil, usahawan dan golongan pekerja.
Katanya, kawasan seperti Pekan Rantau, Kuala Sawah, Kampung Seliau dan Kampung Bemban akan diberikan tumpuan pembangunan, manakala Bandar Sri Sendayan terus diperkasakan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi.
“Kita mahu membantu peniaga kecil, memperluas peluang keusahawanan, membuka jaringan pekerjaan dan memastikan lebih banyak peluang ekonomi dapat dinikmati oleh keluarga tempatan.
“Ekonomi yang baik bukan sekadar menarik pelaburan besar, tetapi memastikan manfaatnya sampai kepada peniaga kecil, pekerja biasa dan keluarga di setiap kampung serta taman perumahan,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan belia, Dr Hakim berkata golongan muda perlu dilihat sebagai aset yang mampu memacu pembangunan kawasan, bukannya satu kelompok yang perlu ditangani.
Beliau berhasrat memperluaskan akses kepada latihan kemahiran, peluang pekerjaan, program keusahawanan dan pembangunan bakat dengan memanfaatkan inisiatif sedia ada seperti MyFutureJobs, TalentCorp dan HRD Corp.
“Anak muda Rantau bukan masalah yang perlu diselesaikan tetapi mereka adalah aset yang perlu diperkasakan. Kita mahu mereka mempunyai laluan yang jelas selepas tamat belajar,” katanya.
Selain itu, beliau turut beriltizam menjadikan Bandar Sri Sendayan sebagai kawasan yang lebih mesra didiami melalui penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, sistem pengangkutan yang lebih berkesan serta pembinaan sekolah baharu.
Menurutnya, projek Rumah Harapan yang menawarkan kediaman berharga antara RM50,000 hingga RM150,000 akan diberi keutamaan kepada anak jati Sendayan yang masih belum memiliki rumah sendiri.
“Kita tidak mahu anak muda Rantau hanya menjadi pencari peluang kerja di tempat lain, sebaliknya bekerja dan tinggal di tempat yang mereka cintai. Kita mahu mereka melihat Rantau sebagai tempat untuk membina masa depan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi DUN Rantau atas sambutan dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh berkempen serta menyeru rakyat bersama-sama membina Rantau yang lebih prihatin, berdaya maju dan sejahtera.
“Perjuangan ini adalah tentang manusia. Tentang ibu bapa yang mahu hidup dengan lebih selesa, wanita yang mahu lebih banyak peluang dan anak muda yang mahu masa depan yang lebih cerah.
“Perubahan sebenar bermula apabila keluarga kita terbela, ekonomi kita diperkasa dan masa depan anak muda kita dijamin,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















