Kenny Chiew nafi kecewa tidak dipilih calon PH di Chuah
PORT DICKSON – Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Port Dickson, Datuk Kenny Chiew Chi Kin menafikan dakwaan beliau tidak berpuas hati selepas tidak dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, beliau menerima keputusan pucuk pimpinan parti yang mengekalkan penyandang, Datuk Yew Boon Lye sebagai calon PH di kerusi berkenaan demi memastikan kemenangan gabungan itu.
Kenny berkata, beliau sebelum ini antara nama yang dipertimbangkan untuk diketengahkan sebagai calon, namun hasrat itu tidak dapat diteruskan susulan beberapa isu teknikal yang memerlukan masa untuk diselesaikan.
“Keputusan saya tidak bertanding kali ini bukan kerana parti hilang kepercayaan atau saya melakukan sebarang kesalahan.
“Namun, proses pembaikan rekod sistem memerlukan tempoh tertentu, sedangkan hari penamaan calon semakin hampir. Atas sebab itu, saya bersama kepimpinan parti mengambil keputusan strategik untuk memastikan kemenangan PH di DUN Chuah terus terjamin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden PKR yang juga calon PH DUN Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun; calon PH DUN Chuah, Datuk Yew Boon Lye dan calon PH DUN Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran.
Sebelum itu, tular beberapa poster di media sosial yang mendakwa Kenny tidak berpuas hati selepas namanya tidak dipilih sebagai calon DUN Chuah, selain cuba menggambarkan wujud perpecahan dalam kalangan kepimpinan PKR di Port Dickson.
Mengulas perkara itu, Kenny berkata, beliau kekal memberi sokongan penuh kepada semua calon PH di kawasan Parlimen Port Dickson dan akan terus membantu jentera parti sepanjang tempoh kempen.
“Sama ada saya memegang jawatan atau tidak, hati dan jiwa saya tetap bersama masyarakat di Chuah.
“Saya akan terus membantu parti dan memastikan jentera pilihan raya dapat memberi fokus kepada usaha memenangkan calon-calon PH,” katanya lagi.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, isu berhubung pencalonan di DUN Chuah telah diselesaikan dan tidak timbul sebarang perpecahan seperti yang cuba digambarkan pihak tertentu.
Menurutnya, pelbagai dakwaan dan persepsi negatif dimainkan di media sosial sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan penyokong.
“Ini bukan pertemuan kali pertama antara kami, tetapi sidang akhbar ini diadakan bagi menunjukkan kebersamaan dan menjelaskan keadaan sebenar.
“Kita mahu menutup segala cerita yang cuba menggambarkan seolah-olah berlaku perpecahan di Chuah dan kawasan sekitar Port Dickson,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















