PMX

Perlembagaan Negeri Sembilan jelas nyatakan syarat Menteri Besar Melayu – Anwar

JELEBU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan orang Melayu sebagai pemimpin utama di Negeri Sembilan tidak pernah dipertikaikan, termasuk syarat pelantikan Menteri Besar yang tertakluk kepada Perlembagaan negeri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, dakwaan yang dimainkan sesetengah pihak kononnya kemenangan PH akan menjejaskan kedudukan Melayu adalah cubaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, pihak yang membawa naratif berkenaan sepatutnya memahami peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Sembilan sebelum membuat tuduhan atau memainkan sentimen perkauman.

“Perlembagaan Negeri Sembilan itu bahawa Menteri Besar mestilah seorang Melayu. Nak jadi calon, nak jadi pemimpin, Perlembagaan tak baca sebab nak hasut orang bagi benci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Minum Petang bersama Anwar Ibrahim di Simpang Durian di sini petang semalam.

Anwar berkata, kedudukan Melayu sebagai majoriti rakyat negara ini, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta Islam sebagai agama Persekutuan tidak pernah dipertikaikan.

Menurutnya, Malaysia perlu terus mengamalkan pendekatan merangkul semua kaum dengan memastikan kepentingan Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban dan Kadazan terus dipelihara.

“Negara ini mesti rangkul, jaga semua. Kita kena jaga Cina, kita kena jaga India, jaga Melayu, jaga Iban, jaga Kadazan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba mencetuskan kebencian antara kaum demi kepentingan politik.

Katanya, pemimpin perlu dipilih berdasarkan kemampuan, amanah dan rekod perkhidmatan, bukannya berdasarkan sentimen kaum semata-mata.

“Saya pilih pemimpin yang baik, yang amanah, yang bekerja dan bawa perubahan untuk rakyat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button