Jenaka hina agama dilarang keras, bertentangan ajaran Islam – Zulkifli
KUALA LUMPUR – Pemimpin perlu mengutamakan wacana yang matang dan berteraskan perpaduan ketika berucap, bukannya menyelitkan jenaka yang boleh menghina atau menyentuh sensitiviti agama lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata gurauan yang mempersenda, menghina, mencemuh atau merendahkan orang lain adalah dilarang keras serta bertentangan dengan ajaran Islam.
Katanya, larangan itu jelas dinyatakan menerusi ayat 11 Surah Al-Hujurat yang melarang orang beriman daripada menghina sesama manusia, mengejek, memanggil dengan gelaran buruk serta mencela antara satu sama lain.
“Dalam setiap pidato atau ucapan, seseorang pemimpin sepatutnya mengangkat wacana yang matang, berfokus kepada pembangunan negara serta pengukuhan perpaduan, bukannya diwarnai dengan jenaka berunsur seksual apatah lagi yang menyentuh sensitiviti institusi agama lain.
“Perbuatan menjadikan simbol atau tokoh mana-mana agama sebagai bahan lelucon, merendahkan nilai adab kepimpinan dan merobek keharmonian antara agama yang sentiasa dipertahankan di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zulkifli, pemimpin yang menjadi teladan kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan umat Islam, perlu menyedari setiap kekhilafan dan mengambil langkah sewajarnya untuk menanganinya.
“Saya menyeru semua pihak untuk kembali menumpukan perhatian kepada isu-isu kepentingan rakyat dan membudayakan wacana awam yang berasaskan hikmah, kesopanan, serta nilai akhlak yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu ucapan kontroversi Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 lalu berhubung jenaka yang membabitkan paderi dan biarawati.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








