BERITA SEMASA

Malaysia perlu pertahankan hubungan erat dengan Indonesia

JAKARTA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Malaysia perlu memperkukuh hubungan serumpun dengan Indonesia yang merupakan negara jiran terdekat serta rakan strategik penting dalam rantau ini.

Beliau berkata, hubungan kedua-dua negara bukan sahaja berasaskan kekerabatan sejarah dan budaya, malah turut menjadi faktor utama kestabilan serantau, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran bersama.

“Alhamdulillah, selamat tiba di Jakarta, Republik Indonesia bagi memulakan lawatan kerja yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.

Ketibaan beliau disambut mesra oleh Kepala Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Republik Indonesia; Dr. Ir. Ahmad Haikal Hassan; TYT Datuk Muzafar Shah Mustafa dan perwakilan Malaysia.

Dalam lawatan kerja selama empat hari itu, Ahmad Zahid dijadual mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka di Istana Wakil Presiden.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, lawatan itu adalah kesinambungan kepada usaha memperluas kerjasama dalam beberapa bidang strategik termasuk industri halal, pembangunan desa, pengurusan bencana serta pendidikan dan TVET.

Beliau juga dijadual melawat Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal selain menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara kedua-dua kementerian dalam usaha memperkukuh kerjasama pembangunan luar bandar.

Menurut Zahid, beliau turut dijadualkan menyertai Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5 dan menyampaikan ucaptama serta mengambil bahagian dalam sesi forum yang melibatkan serantau, selain beberapa pertemuan sepanjang lawatan itu.

“Sama-sama kita doakan agar setiap pertemuan dan perbincangan yang berlangsung dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Indonesia, sekali gus terus memperkukuh hubungan dua negara serumpun ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button