Karnival Usahawan Desa dan Orang Asli catat jualan lebih RM839,000
KUALA LUMPUR – Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) berjaya merekodkan jualan lebih RM839,000 hasil penyertaan 243 usahawan komuniti Orang Asli sekali gus membuktikan potensi besar golongan itu dalam bidang keusahawanan.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasa peluang pekerjaan dan taraf sosioekonomi belia Orang Asli melalui tiga pendekatan utama iaitu pendidikan konvensional, keusahawanan serta peningkatan kemahiran melalui TVET.
“Sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak 130 projek telah diberikan kepada syarikat milikan Orang Asli, manakala 449 usahawan menerima geran dengan hampir separuh berjaya meningkatkan pendapatan sehingga 30 peratus,” katanya menjawab pertanyaan lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, selain program berbentuk sokongan keusahawanan, belia Orang Asli juga diberikan peluang menimba kemahiran melalui 1,398 institusi TVET di seluruh negara termasuk laluan industri melalui Akademi Dalam Industri, Program Perantisan, Work-Based Learning dan Industrial Bootcamp.
Tambahnya, pada masa ini, sebuah Institut Latihan TVET khusus untuk komuniti Orang Asli di Paya Bungor, Kuantan turut ditubuhkan bagi menawarkan latihan kemahiran dalam bidang jahitan.
Dalam sektor awam, seramai 2,913 Orang Asli berkhidmat sebagai Ranger Komuniti Jabatan Perhilitan manakala 202 lagi dilantik sebagai Konstabel Polis Orang Asli pada tahun 2024 dan 2025.
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) juga memperluas akses penyertaan melalui program Hari Mengisi Borang SPA yang diadakan setiap bulan.
Bagi sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula jelasnya, peluang kerjaya turut diwujudkan termasuk pelantikan sebagai kru kabin MAS serta pemadanan pekerjaan melalui HRD Corp, AEON, Speedmart dan Akademi Bina Malaysia.
“Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluas peluang pekerjaan, pendidikan serta latihan kemahiran yang inklusif dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli secara berterusan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








