BERITA SEMASA

Inisiatif BDR berjaya jimatkan RM5.98 juta subsidi petrol

PUTRAJAYA – Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) sejak 15 April lalu berjaya menjimatkan sebanyak RM5.98 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 3.13 juta liter setakat ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam hantaran di Facebook berkata, data setakat hari ini itu menunjukkan, inisiatif tersebut berjaya membantu kerajaan menangani bebanan kewangan ekoran daripada krisis bekalan global.

“Dalam Mesyuarat Kerajaan Digital yang saya pengerusikan pagi ini, saya turut dimaklumkan sistem pemantauan operasi tugas iaitu aplikasi SPOT-Me yang merekodkan kehadiran serta catatan tugasan harian telah berjaya berfungsi sebagai mekanisme kawalan digital bagi memastikan integriti perkhidmatan awam kekal terpelihara,” katanya.

Pada 26 Mei lalu, media melaporkan kerajaan berjaya menjimatkan RM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter.

Pada mesyuarat itu juga, Shamsul Azri berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa Malaysia berada pada kedudukan ke-13 dunia dalam faktor Infrastruktur Teknologi dalam laporan Indeks Daya Saing Global 2026 yang dikeluarkan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) baru-baru ini.

“Pencapaian ini adalah lonjakan berganda berbanding kedudukan ke-25 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan kerajaan pada masa depan adalah memperkukuh kedaulatan data, adaptasi kecerdasan buatan (AI) yang selamat, integrasi MyDigital ID serta pentadbiran tanpa kertas yang lebih cekap bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat memberi nilai sebenar seiring aspirasi Malaysia MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button