Penjawat awam Selangor dibenar bekerja dari rumah sempena Sidang Kemuncak ASEAN
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor memberi kelonggaran kepada penjawat awam dan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas susulan penutupan beberapa laluan utama di ibu negara sepanjang sidang kemuncak yang akan dihoskan oleh Malaysia.
“Kelonggaran ini diberikan kepada penjawat awam negeri dan anggota GLC untuk memohon bekerja dari rumah melalui Ketua Jabatan masing-masing, tertakluk kepada pertimbangan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, keputusan tersebut membolehkan urusan perkhidmatan kepada rakyat diteruskan tanpa gangguan, selain mengurangkan tekanan perjalanan harian penjawat awam akibat kesesakan trafik.
Selain sektor awam, Kerajaan Negeri turut menggalakkan sektor swasta agar mempertimbangkan dasar fleksibiliti serupa sekiranya kemampuan operasi dan sistem kerja syarikat membenarkannya.
“Kita mahu kesejahteraan para pekerja sentiasa dijaga dan mereka tidak terbeban dengan perjalanan yang panjang semasa sidang berlangsung,” ujar Amirudin.
Langkah itu dilihat sebagai antara bentuk sokongan kerajaan negeri terhadap penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang bakal menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama rantau ini termasuk perwakilan dari luar negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








