Sidang Kemuncak ASEAN: Beberapa jalan utama Kuala Lumpur ditutup sementara
KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihat mengelak kawasan pusat bandar mulai 26 hingga 28 Oktober ini susulan penutupan beberapa jalan utama dan lebuh raya di ibu negara secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menurut Pusat Arahan dan Kawalan Kuala Lumpur (KLC3), penutupan jalan akan dilaksanakan secara berkala antara 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan konvoi rasmi peringkat tertinggi sepanjang tempoh sidang tersebut.
Antara laluan utama yang terjejas termasuk Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Binjai, Persiaran KLCC, Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Damansara, Jalan Istana, Jalan Kuching dan Jalan Perak.
“Beberapa simpang strategik yang dijangka turut terkesan ialah Jalan Ampang–Jalan P. Ramlee, Jalan Sultan Ismail–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan Pinang, Jalan Stonor–Jalan Kia Peng dan Jalan Stonor–Persiaran KLCC.
“Selain itu, laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang ke pusat bandar, termasuk Lebuhraya Lingkaran Putrajaya dan Lebuhraya KLIA, juga akan mengalami penutupan sementara,” katanya dalam kenyataan.
Turut terbabit ialah beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Maju (MEX), PLUS (Sungai Buloh–Jalan Duta), ELITE (KLIA–Putrajaya), NKVE (Subang–Jalan Duta), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya KL–Seremban (Sungai Besi–pusat bandar).
Sehubungan itu, orang ramai disaran menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, monorel dan bas, manakala kenderaan berat tidak dibenarkan memasuki pusat bandar ketika waktu puncak persidangan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang menandakan kemuncak Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025, dijadual berlangsung di pusat bandar Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini, dengan kehadiran semua 10 pemimpin negara anggota ASEAN serta rakan dialog termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














